NASIONAL

TPM: Hormati sensiviti orang lain demi keamanan negara

OLEH NORHAYATI UMOR

KUALA LUMPUR, 10 JUN: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengingatkan mana-mana individu supaya menghormati sensitiviti orang lain sebelum mengeluarkan kenyataan secara terbuka.

Katanya, walaupun Malaysia mengamalkan konsep kebebasan bersuara, namun terdapat sesetengah perkara yang perlu ditapis demi memastikan keamanan negara sedia ada sentiasa terpelihara.

“Setiap daripada rakyat Malaysia perlulah sensitif terhadap perasaan orang lain walaupun kebebasan bersuara diamalkan di negara ini.

“Kita perlu jaga tutur kata, hormati tatasusila dan juga institusi Raja Berperlembagaan.

“Negara kita juga mempunyai undang-undang Raja Berperlembagaan dan ia harus dihormati oleh semua pihak,” katanya semasa sidang akhbar Program Iftar@KualaLumpur 2018 di Dataran Merdeka di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas peletakan jawatan Datuk A Kadir Jasin sebagai Ketua Media dan Komunikasi Majlis Penasihat Kerajaan berkuat kuasa serta merta.

Terdahulu, A Kadir dilaporkan berkata, beliau membuat keputusan itu bagi mengelak kekeliruan dalam kalangan masyarakat berkaitan peranannya dalam Majlis itu serta pandangan beliau dalam blog dan kolum mingguan di akhbar Sinar Harian.

“Sebagaimana yang saya tegaskan dalam mukadimah blog saya, segala pendapat yang saya zahirkan di dalamnya adalah pendapat saya semata-mata.

“Saya menulis atas kapasiti sebagai seorang blogger dan tiada kaitan dengan sebarang jawatan yang mungkin saya pegang.

“Bagaimanapun, wartawan dan pihak lain yang memetik pandangan saya terus mengaitkannya dengan kedudukan saya sebagai Ketua Media dan Komunikasi Majlis Penasihat Kerajaan ,” katanya dalam kenyataan.


Pengarang :