NASIONAL

TPM: Malaysia-Qatar tingkat kerjasama, kongsi kepakaran

OLEH HAFIZAN TAIB

PUTRAJAYA, 6 JUN: Malaysia akan terus mempertingkat kerjasama dengan Qatar dengan perkongsian kepakaran dalam pelbagai bidang ke arah kemajuan bersama dan manfaat rakyat.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, hubungan baik terjalin antara kedua negara dijangka mampu menjayakan perancangan dalam bidang sasaran khususnya pertanian dan keselamatan makanan.

“Saya rasa ia adalah idea yang baik untuk kita bekerjasama dalam bidang ini dan adalah penting untuk berkongsi kekayaan negara dengan rakyat.

“Pertanian dan keselamatan makanan adalah bidang tambahan kedua-dua negara boleh bekerjasama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungana hormat Duta Besar Qatar ke Malaysia, Essa Mohamed Al Mannai di sini, semalam.

Katanya, Malaysia akan terus mengeratkan hubungan sedia ada demi kebaikan bersama.

“Sebagai Timbalan Perdana Menteri wanita pertama di Malaysia, saya membawa imej wanita Islam dan ingin terus bekerjasama dengan Qatar untuk mengembangkan lagi jalan tengah ini iaitu jalan kesederhanaan,” kata Presiden Pakatan Harapan itu.

Sementara itu, Essa Mohamed berkata, banyak yang boleh dipelajari Qatar daripada Malaysia bagi kemajuan negara itu.

“Ada banyak boleh dipelajari daripada Malaysia dan kita boleh mengukuhkan lagi hubungan dan kita bersedia menerima kunjungan wakil Malaysia dan kita akan juga berbuat demikian dengan menghantar wakil ke negara ini,” katanya.

Selain pertanian dan keselamatan makanan, beliau berkata, Malaysia dan Qatar boleh menjalin kerjasama lebih erat dalam bidang pendidikan, wanita, farmasi dan pelancongan perubatan.

Essa Mohamed turut memuji peralihan kuasa yang lancar semasa pilihan raya umum ke-14 di Malaysia yang menyaksikan perubahan kerajaan pertama dalam tempoh 61 tahun.

“Terdapat ramai pemimpin di rantau kita yang membunuh untuk berkuasa. Terdapat banyak perkara yang kita boleh pelajari dari Malaysia,” katanya menyentuh peralihan kuasa secara aman di Malaysia.

Essa Mohamed juga menyatakan kerajaan Qatar menjanjikan peruntukan RM198.9 juta bagi membantu komuniti Rohingya di Malaysia.

Dr Wan Azizah berkata, perkara itu boleh diterokai dengan lebih lanjut dan Malaysia mempunyai program komprehensif menanganinya.


Pengarang :