BERITA UTAMA GLOBAL NASIONAL

TPM: Malaysia, Turki minat tingkat kerjasama siber dan A.I

OLEH HAFIZAN TAIB

PUTRAJAYA, 14 JUN: Malaysia berminat menjalin kerjasama dengan Turki dalam meneroka pelbagai bidang termasuk keselamatan siber dan kecerdasan buatan (artificial intelligence) sebagai bidang tambahan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, kedua bidang baharu itu perlu diberi perhatian dengan Malaysia dan Turki boleh bekerjasama dalam perkara itu.

“Dunia kini menghadapi ancaman baru dalam bentuk ancaman siber dan mencadangkan keselamatan siber dan kecerdasan buatan (artificial intelligence) sebagai bidang tambahan untuk diusahakan bersama.

“Malaysia juga berminat bekerjasama dengan Turki untuk membantu pelarian yang terpaksa meninggalkan negara mereka kerana faktor ekonomi dan kita mesti memikirkan penyelesaian jangka panjang untuk membantu supaya mereka dapat kembali ke negara asal mereka.

“Mungkin dengan dasar lebih sesuai untuk matlamat itu, ” katanya ketika menerima kunjung hormat Duta Turki ke Malaysia, Dr Merve Safa Kavakiz, di sini, Isnin lalu.

Beliau berkata, Malaysia dan Turki perlu membina kekuatan yang bebas dari segi ekonomi dengan peningkatan kerjasama sebagai dua kuasa serantau.

Dengan kekuatan dibina, katanya, kedua negara boleh membantu ummah dan lebih banyak pihak memerlukan pertolongan.

“Kita perlu menjadi negara yang kuat, bersatu dan membantu mereka berada dalam kawasan konflik serta menjadikan tempat lebih baik untuk semua,” katanya.

Sementara itu, Dr Kavakiz bersetuju dengan pandangan itu dan berharap Turki juga Malaysia dapat bekerjasama erat bagi menjayakannya.

Seperti mana dinyatakan Dr Wan Azizah, katanya, Malaysia dan Turki juga boleh menbentuk kerjasama dalam pelbagai bidang antaranya pemindahan teknologi, pendidikan, pertahanan, pembinaan, pembangunan industri, makanan organik serta tekstil.

“Salah satu tugas penting saya ialah memastikan hubungan Malaysia dan Turki lebih erat dalam setiap aspek kerjasama. Perdagangan kita adalah berada sekitar USD3 bilion daripada Malaysia kepada Turki dan sedikit melebihi USD300 juta daripada kita kepada Malaysia.

“Terdapat jurang perbezaan besar di sana dan dengan lebih banyak kerjasama antara keduanya, dapat membawa ke tahap lebih adil,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia adalah pintu masuk untuk Turki ke Asia, Timur Jauh dan India manakala Turki boleh membantu untuk menjadikan Malaysia lebih menonjol di benua Afrika.

Kunjung hormat itu turut membincangkan berkaitan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dengan katanya, OIC tidak harus dimonopoli negara tertentu bagi memastikan ia membawa manfaat kepada lebih banyak pihak.

“Kita berharap Malaysia dan Turki terus bekerjasama dalam bidang kesihatan, teknologi inovatif dan penghasilan pengetahuan dengan kekaguman bagaimana inovatif dihasilkan bidang akademik di Malaysia dapat disalurkan kepada industri,” katanya.

=EZY=


Pengarang :