NASIONAL

Trafik lancar di lebuh raya utama

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 19 JUN: PLUS Malaysia Berhad dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) melaporkan aliran trafik di beberapa lebuh raya utama negara pada hari kelima Syawal setakat ini dilaporkan lancar dan terkawal.

Memetik laporan Bernama, Jurucakap PLUS Malaysia Berhad berkata, setakat jam 9 pagi tadi, aliran trafik di kedua-dua arah Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) bergerak lancar dan terkawal.

Keadaan trafik di sepanjang jambatan Pulau Pinang dari kedua-dua arah juga lancar meskipun mencatat pertambahan bilangan kenderaan.

Namun, katanya, aliran trafik dari Changkat menuju ke Kuala Kangsar sedikit perlahan sepanjang empat kilometer berikutan sebuah lori rosak di kilometer 230.3.

Sementara itu, LLM melaporkan aliran trafik lancar dan terkawal bermula Kuantan menuju ke Bentong melalui Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) serta di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) dari Kuala Terengganu ke Kuantan.

Aliran trafik di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK), terutamanya dari arah Bentong ke Gombak juga dilaporkan lancar.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000 dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) di talian 1800-88-7752 atau merujuk laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik dan www.twitter.com/llminfotrafik.


Pengarang :