GLOBAL

Tun M: Hidupkan semula inisiatif EAEC

TOKYO 12 JUN: Inisiatif Kaukus Ekonomi Asia Timur (EAEC) perlu dimulakan susulan perlindungan perdagangan yang semakin meningkat oleh negara seperti Amerika Syarikat (AS), kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau yang masih berminat dengan penubuhan kaukus itu berkata, cadangan itu tidak diteruskan sebelum ini kerana bantahan AS.

“Bagaimanapun, AS kini kembali kepada pemencilan, negara itu tidak berada dalam kedudukan untuk menuntut kita tidak menubuhkan EAEC.

“Oleh itu, kita perlu menimbang pembentukan EAEC lebih serius,” katanya pada Persidangan Antarabangsa Mengenai Masa Depan Asia atau Persidangan Nikkei kali ke-24, di sini, semalam.

Beliau berkata, cadangan zon perdagangan bebas serantau itu bukan sahaja melibatkan negara Asia Timur dan Asia Tenggara, tetapi juga negara seperti India dan negara lain di Asia Tengah.

Dr Mahathir yang dalam lawatan kerja selama 3 hari ke Jepun, mengilhamkan penubuhan EAEC pada 1997.

Bagaimanapun, Dr Mahathir menegaskan negara berlainan perlu mendapat layanan berbeza berkaitan perdagangan bebas.

Ini jelasnya, ada negara yang mungkin memerlukan perlindungan kerana mereka tidak dapat bersaing dengan negara dagangan utama dunia disebabkan kelemahan tertentu atau kekurangan kapasiti.

Katanya, beliau tidak begitu berminat dengan perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) kerana ia akan memberi kesan kepada Malaysia.

“Bagaimanapun, dalam organisasi baru di Asia Timur, kita akan mempunyai organisasi perdagangan bebas,” katanya sambil menegaskan negara yang mempunyai kapasiti berbeza untuk bersaing perlu diberikan pertimbangan wajar.

“Ia seperti bermain golf, apabila anda bermain golf, anda memerlukan handicap dengan pemain paling lemah mendapat handicap paling tinggi supaya persaingan itu lebih adil.”

Mengenai perdagangan bebas, Dr Mahathir berkata, ternyata beberapa negara maju mendapati perdagangan bebas tidak begitu diterima, memetik AS yang mahu melindungi perdagangannya.

“Jika AS, sebuah negara besar dengan ekonomi terbesar di dunia…percaya kepada sekatan perdagangan, ia tidak wajar.

“Bagaimanapun, bagi negara kecil, ia wajar kerana mereka tidak dapat bersaing pada kedudukan sama seperti negara-negara besar lain.”

Katanya, beliau menyokong satu kumpulan tunggal dari seluruh dunia yang tertakluk kepada standard sama, selain memberi pertimbangan sewajarnya kepada kelemahan dan kekuatan negara lain.

Mengenai China, beliau berkata, pasarannya yang besar ternyata menarik negara lain, termasuk Asia Tenggara.

“Kita mahu akses ke pasaran ini. Oleh itu, kita perlu berurusan dengan China, sama ada kita suka atau tidak,” katanya sambil menambah cara terbaik adalah berusaha dan berunding sebagai sebuah kumpulan berbanding negara individu.

“Sebagai (negara) individu, kita tidak boleh berharap untuk meyakinkan China apa-apa. Tetapi, jika seluruh Asia Tenggara (misalnya) melalui EAEC untuk berunding dengan China…saya fikir China akan bersetuju.”

SUMBER: BERNAMA

 


Pengarang :