PENDIDIKANSELANGOR

UKM lonjak 46 anak tangga universiti teratas dunia

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 9 JUN: Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melonjak 46 anak tangga apabila kini berada pada kedudukan ke-184 universiti teratas dunia berbanding 230 pada tahun lalu.

Statistik itu berdasarkan laporan daripada Quacquarelli Symonds (QS) World University Rankings bagi 2018.

Berdasarkan kajian, antara enam aspek dinilai QS meliputi reputasi akademik, reputasi majikan, penyelidikan dan sitasi, skala pensyarah dan pelajar, ahli akademik antarabangsa serta pelajar antarabangsa.

Naib Canselor UKM, Profesor Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali berkata, pengiktirafan itu bukan sahaja memberi manfaat kepada pelajar, malah ia juga dapat menarik pelabur asing ke arah ekonomi negara yang lebih baik.

Katanya, perkara itu turut meyakinkan pelajar luar negara memilih UKM sebagai institusi pengajian mereka.

“Selaku universiti tersenarai 200 teratas dunia, kami membuka peluang pelajar untuk mencapai kerjaya lebih baik kerana majikan percaya dengan kualiti pencapaian dan akademik yang kami sediakan.

“Dengan kedudukan terbaharu ini, ia akan menarik lebih ramai pelabur asing yang kebanyakannya berlatarbelakangkan pengetahuan dan penyelidikan,” katanya pada sidang media di Bangunan Canselori, di sini, semalam.

Menariknya, Noor Azlan berkata, UKM tidak hanya memfokuskan prestasi akademik semata-mata, tetapi juga memberi keutamaan dalam bidang penyelidikan seperti inovasi kanser payudara, mencipta ginjal tiruan dan penemuan Antena Nano Satelit terkecil di dunia.

Sehingga kini, katanya, UKM mencatatkan keahlian alumni seramai 190,170 dengan sebahagian mereka memegang jawatan penting dalam negara.

Katanya, antara mereka adalah Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Datuk Seri Mohd Shukri Abdull; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook dan Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.


Pengarang :