NASIONAL

Usah tertipu dakyah di media sosial GST naikkan harga barang

OLEH NAZLI IBRAHIM

GOMBAK, 3 JUN: Orang ramai disaran tidak terpedaya dengan penyebaran propaganda di media sosial kononnya penghapusan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) menyebabkan harga barangan semakin mahal.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, propaganda itu dibuat bagi memburukkan pentadbiran Kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN).

“Harga barang tidak akan naik sekiranya peniaga memenuhi undang-undang dan peraturan harga barang akan turun,” katanya pada Program Penyerahan Sumbangan Hari Raya di Masjid At-Takwa Selayang Baru, di sini, semalam.

Mohamed Azmin berkata, peniaga yang menaikkan harga barangan boleh dikenakan tindakan kerana melanggar dasar kerajaan yang mahu meringankan tekanan kos sara hidup rakyat.

Terdahulu, terdapat pihak di media sosial facebook cuba mengelirukan orang dengan mendakwa harga barang semakin naik selepas cukai GST dimansuhkan.

Pihak terbabit turut mengelirukan orang ramai dengan memuatnaik foto resit pembelian kononnya sebelum dan selepas GST dikurangkan.

Bagaimanapun foto resit pembelian yang dikatakan selepas GST dikuatkuasakan sebenarnya resit pembelian lama.

=EZY=


Pengarang :