SELANGOR

Usia muda bukan penghalang pimpin negeri emas

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 19 JUN: Dato’ Menteri Besar yang baharu, Amirudin Shari perlu membuktikan faktor usia bukan penghalang untuk memimpin Selangor terus menjadi negeri termaju di Malaysia.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli berkata, pelantikan Amirudin merupakan petanda positif dan boleh mengubah presepsi serta memberi manfaat kepada anak muda, pendidikan dan wanita.

“Beliau mempunyai jiwa anak muda, ini memberi kelebihan. Selangor merupakan negeri tumpuan, jadi pelantikan ini merupakan petanda positif.

“Beliau boleh membuktikan faktor umur bukan penghalang atau permasalahan tetapi pembangunan holistik demi kesejahteraan rakyat,” katanya.

Pada masa sama, Juwairiya berharap Amirudin dapat memberi perhatian dan meneroka pembangunan baru khususnya di kawasan luar bandar.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Tua, Amirudin Shari, 38, dipilih dan mengangkat sumpah bagi memegang jawatan Dato’ Menteri Besar Selangor ke- 16.di Istana Alam Shah, Klang, hari ini.

Istiadat Pengurniaan Watikah Pelantikan dan Angkat Sumpah itu dilakukan di hadapan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bermula jam 10.15 pagi.

=EZY=


Pengarang :