SUKANKINI

Wan Kuzain catat sejarah jaring gol pertama dalam MLS

OLEH HAFIZAN TAIB

GLOBAL, 5 JUN: Wan Kuzain Wan Kamal, terus mencatat sejarah dalam Major League Soccer (MLS) apabila menjadi anak Malaysia pertama menjaringkan gol dalam liga bola sepak berkenaan.

Beliau melakukannya dalam perlawanan antara pasukannya, Sporting KC menentang Minnesota United di Children’s Mercy Park, Kansas, Amerika Syarikat (AS), hari ini, dengan kemenangan 4 – 1.

Ia adalah penampilan kedua Wan Kuzain dalam MLS apabila turun sebagai pemain gantian menggantikan Yohan Croizet pada minit ke 17.

Beliau memerlukan 18 minit untuk mencipta jaringan sulungnya dan gol kedua Sporting KC dengan sepakan kaki kiri menerjah jaring gol Minnesota United pada minit ke 35.

Jaringan dihasilkan itu adalah gol pertama Wan Kuzain untuk Sporting KC sebagai pemain senior profesional sejak menyertai pasukan itu pada 13 April lalu.

Sebelum itu, beliau membuat penampilan pertama ketika menentang Columbia Crew SC, 28 Mei lalu.


Pengarang :