EKONOMISAINS & INOVASISELANGORWANITA & KEBAJIKAN

Wanita perlu mendepani Revolusi Industri 4.0

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM 16 JUN: Revolusi Perindustrian Keempat (Industri 4.0) yang membabitkan teknologi automasi dan penemuan pelbagai teknologi baharu, bakal merancakkan kemajuan landskap dunia moden.

Pendekatan itu perlu difahami sebagai sebahagian maklum balas lebih luas Malaysia terhadap kemunculan Industrial Internet of Things (IoT), termasuk dalam industri pembuatan, yang dikatakan menjadi salah satu termaju dalam IoT.

Di sini, konsep Industri 4.0 dan industri pembuatan berkomputer penuh yang tidak membabitkan manusia sudah bermula dan dijangka akan mengubah kehidupan dengan ketara.

Di Selangor, walaupun Kerajaan Persekutuan (sebelum ini dipegang Barisan Nasional) tidak mempunyai rancangan jelas untuk wanita dalam industri itu, namun Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali mengakui kepentingan merangka strategi.

Ia bagi wanita menghadapi Fasa Revolusi Perindustrian itu seterusnya. Perubahan itu akan menyebabkan kesan yang besar terhadap pasaran kerja, menjadikan banyak pekerjaan sedia ada tidak lagi relevan ketika pekerjaan baru sedang terhasil.

Ini akan berlaku disamping usaha Kerajaan Negeri untuk memajukan industri berasaskan pengetahuan dan berteknologi tinggi seperti yang digariskan dalam Belanjawan Negeri 2017.

Cabaran wanita hadapi

Di era globalisasi dan Industri 4.0 ini memperlihatkan peranan wanita semakin penting dan tidak ketinggalan dalam konteks arus pembangunan negara.

Namun, Forum Ekonomi Dunia menganggarkan kehilangan kira-kira 5.1 juta pekerjaan antara 2015 hingga 2020. Ia membabitkan 2.45 juta daripadanya ditanggung oleh wanita.

Bagi menghadapi cabaran ini, sudah tentu ia akan memberi kesan berkembar kepada pasaran buruh, merombak dan mewujudkan peluang pekerjaan.

Pekerjaan rutin dalam pentadbiran dan industri pembuatan serta perkhidmatan terutamanya kerja yang boleh didigitalkan akan melanda.

Semestinya sebahagian besar pekerjaan baru yang diwujudkan akan berada dalam bidang teknikal dan memerlukan kemahiran sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).

Pertumbuhan pekerjaan yang tinggi dalam bidang STEM kini mempunyai salah satu kadarpenyertaan wanita paling rendah dan menghadapi kesulitan dalam merekrut wanita.

Bagaimana wanita dan kanak-kanak perempuan mempunyai kepakaran dalam bidang ini juga sudah tentu mencabar.

Bagaimanapun, di Malaysia wanita kini membentuk 50-60 peratus daripada industri pengkomputeran di negara ini.

Manakala, menurut laporan graduan STEM wanita di Asia Pasifik memperoleh pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian.

Ini bermakna hanya sedikit isu dengan kelayakan mereka merebut peluang pekerjaan yang ada.

Wanita perlu relevan dengan keperluan semasa

Menteri di Pejabat Perdana Menteri Singapura, Josephine Teo Li Min pernah memaklumkan Industri 4.0 ini berkemungkinan besar menyaksikan lebih ramai wanita diambil bekerja memandangkan persaingan dalam pasaran tenaga kerja pada masa depan lebih kepada keperluan terhadap minda berbanding kekuatan fizikal.

Katanya, ini berdasarkan situasi semasa yang menunjukkan kebanyakan kerja-kerja manual yang memerlukan tenaga fizikal perlahan-lahan beralih kepada automasi, seiring perkembangan teknologi.

“Jika kita bersaing dari segi minda dan bukan tenaga fizikal, wanita tidak mempunyai kekurangan. Sekalipun kemajuan kecerdasan buatan dan robotik akan mempercepatkan proses automasi di tempat kerja, namun situasi itu tidak begitu menjejaskan peluang pekerjaan,” katanya.

Sementara itu, usahawan terkenal yang merupakan Pengasas ChristyNg.com, Christy Ng berkata, wanita perlu merebut peluang dan menjadikan kegagalan sebagai pemangkin kejayaan, selain mempunyai pasukan pengurusan yang mahir selok-belok perniagaan.

Katanya, secara peribadi beliau berpendapat bekerja dalam pasukan yang mempunyai gandingan antara lelaki dan wanita boleh membuatkan perniagaan pergi lebih jauh.

“Keperluan ini menjadikan syarikat lebih utuh, berikutan masing-masing mempunyai kekuatan dalam mewujudkan persaingan kerana semua berusaha melepasi sasaran petunjuk prestasi utama (KPI).

“Yang penting pastikan diri sentiasa relevan dengan keperluan semasa dan manfaatkan sepenuhnya teknologi digital yang semakin berkembang hari ini,” katanya.

Beliau menyarankan, usahawan wanita turut disaran agar segera mengambil peluang dalam menguasai teknologi digital untuk memajukan perniagaan.

“Dengan menguasai e-dagang, mereka dilihat tidak lagi ketinggalan, malahan mampu bersaing secara sihat dengan pemain-pemain industri yang lain,” katanya.

Bagaimana Selangor tangani

Institut Wanita Berdaya (IWB) kini sedang merangka dan strategi bagi membolehkan wanita dapat dimajukan dalam bidang ini menerusi Dasar Wanita Selangor dan Pelan Tindakan 2017-2020.

Penasihatnya, Zuraida Kamaruddin berkata, ia termasuk bagaimana bilangan wanita dalam pengajian komputer boleh diterjemahkan dalam bidang yang sama.

“Pada masa sama, kerajaan juga perlu memikirkan kaedah untuk memastikan wanita dan kanak-kanak perempuan menceburi bidang STEM dengan mengintegrasikan pelajar perempuan ke mata pelajaran STEM.

“Juga melengkapkan mereka dengan set kemahiran yang lebih luas supaya dapat memajukan pemikiran kritikal, kebolehan menyelesaikan masalah kompleks dan kreatif,” katanya.

Zuraida berkata langkah pertama yang boleh dilakukan adalah mengadakan rundingan di seluruh negeri dengan semua pihak berkepentingan.

Katanya, langkah itu perlu dilengkapkan dengan kajian yang menyeluruh.

“Ia bertujuan mengetahui bagaimana Kerajaan Negeri boleh memberi sokongan kepada mereka yang terbabit sama ada sebagai pekerja, bos, pengamal, pembuat keputusan atau konsumer,” katanya.

Dasar Wanita Selangor dan Pelan Tindakan 2017-2020 itu juga mahu menggalakkan pelajar muda mewujudkan program mentor mentee.

Manakala, yang sedia ada dalam bidang STEM, perlu mempunyai peluang mencukupi untuk terus membina dan memperolehi kemahiran baru serta menerima galakan supaya terus berada dalam bidang itu.

 

 


Pengarang :