AGAMA SELANGOR

Waspada kutipan zakat palsu

OLEH HAZIQ ISMAIL

SHAH ALAM, 5 JUN: Orang ramai disaran untuk berhati-hati dengan individu yang melaksanakan kutipan zakat di Selangor tanpa kebenaran Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Pengerusi MAIS, Dato’ Seri Mohammed Khusrin Munawi berkata, MAIS melantik LZS sebagai amil pentadbir bagi menguruskan semua perkara berhubung kutipan dan agihan zakat di Selangor berdasarkan Peraturan Zakat dan Fitrah (Selangor) 2012.

“MAIS dan LZS tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas individu atau pertubuhan yang didapati melakukan kesalahan-kesalahan tersebut, demi melaksanakan amanah ummah, menjaga nama baik MAIS dan LZS.

“Mana-mana pihak yang melakukan kesalahan itu, boleh didakwa di bawah peruntukan Seksyen 37 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 iaitu memungut zakat secara tidak sah yang membawa hukuman denda maksimum RM 3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya.

“MAIS adalah pihak yang berkuasa untuk memungut dan mengagih zakat fitrah di dalam Selangor bagi pihak Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, orang ramai diminta untuk melaporkan sebarang aktiviti pungutan zakat oleh mana-mana pertubuhan yang tidak dilantik dan diberi kuasa oleh MAIS atau LZS.

Tambahnya, penolong amil fitrah boleh dikenal pasti melalui surat pelantikan dan kad tauliah sah yang dikeluarkan oleh LZS.

 


Pengarang :