SUKANKINI

WC2018: Dua gol Ahmed Musa ‘cairkan’ Iceland

OLEH HAFIZAN TAIB

VOLGOGRAD, 23 JUN: Nigeria menewaskan Iceland 2 – 0 dalam perlawanan kedua Kumpulan D bagi menghidupkan peluang dalam saingan pada Piala Dunia 2018.

Kedua-dua gol Ahmed Musa pada minit ke-49 dan 75 mengubah nasib pasukan Afrika itu yang kalah 0 -2 kepada Croatia dalam perlawanan awal.

Penyerang Leicester City itu memecah kebuntuan dalam empat minit separuh masa kedua dengan jaringan gol selepas menyempurnakan hantaran Victor Moses.

Musa sekali lagi mencuri tumpuan dengan gol kedua selepas memperdaya pertahanan Iceland, Kari Arnason melalui sepakan deras dari luar kotak penalti.

Pada minit ke 80, Iceland berpeluang merapat jurang apabila mendapat penalti namun Gylfi Sigurdsson menyepak melepasi palang gol.

Dari dua perlawanan, Nigeria kini mengumpul tiga mata dan akan berdepan Argentina bagi penentuan ke peringkat 16 terakhir.

Iceland dengan satu mata pula akan membuat perhitungan dengan Croatia (enam) yang kini mendahului kumpulan.

=EZY=


Pengarang :