SUKANKINI

WC2018: Hatrik Ronaldo bantu Portugal bangkit ikat Sepanyol

OLEH AFIX REDZUAN

RUSIA, 16 JUN: Cristiano Ronaldo mencipta hatrik pertama Piala Dunia Rusia 2018 ketika membantu Portugal bangkit mengikat Sepanyol 3-3 dalam aksi Kumpulan B awal pagi tadi.

Ronaldo meletakkan Portugal di hadapan 1-0 seawal minit keempat apabila menyempurnakan penalti selepas Nancho Fernandez menjatuhkan beliau dalam kotak penalti.

Jaringan itu menyaksikan Ronaldo mencipta rekod menjaringkan gol dalam empat kejohanan Piala Dunia FIFA bersama Uwe Seeler, Pele dan Miroslav Klose.

David Silva cuba mengasak Portugal pada minit kesembilan tetapi rembatannya melambung tinggi.

Portugal berpeluang menggandakan jaringan menerusi Goncalo Guedes pada minit ke-22 tetapi berjaya dihalang pertahanan Sepanyol.

Jaringan penyamaan yang dinantikan Sepanyol akhirnya menjelma pada minit ke-24 menerusi Diego Costa.

Berpunca daripada hantaran jauh Sergio Busquets, Costa berjaya melepasi kawalan Pepe sebelum memperdaya dua lagi pertahanan dan melepaskan rembatan ke gawang Portugal yang dikawal Rui Patricio.

Selang dua minit kemudian percubaan Isco singgah di palang sebelum melantun di atas garisan gol.

Andres Iniesta mensia-siakan peluang terbaik untuk meletakkan La Roja dihadapan pada minit ke-35 selepas tampanan beliau gagal menepati sasaran hasil umpanan Jordi Alba.

Keghairahan Sepanyol menambah jaringan akhirnya dihukum Ronaldo apabila beliau menjaringkan gol kedua pada minit ke-44.

Berpunca daripada satu serangan balas pantas, penjaga gol Sepanyol, David De Gea gagal menangkap kemas rembatan Ronaldo yang terus menerjah jaring bagi kedudukan separuh masa pertama 2-1.

Costa sekali lagi menyamakan kedudukan 2-2 buat Sepanyol apabila berjaya menampan tandukan Busquets pada minit ke-55.

Belum sempat Portugal mengatur langkah, Nancho menebus kesilapan babak pertama apabila melepaskan rembatan kencang terkena tiang dan melantun masuk ke gawang pada minit ke-58 untuk Sepanyol dihadapan buat kali pertama, 2-3.

Ronaldo akhirnya melengkapkan hatrik pada minit ke-88 apabila menghasilkan jaringan cantik menerusi sepakan percuma yang gagal diselamatkan De Gea bagi keputusan akhir 3-3.

Kredit Foto: Facebook FIFA World Cup


Pengarang :