SUKANKINI

WC2018: Rusia garang belasah Arab Saudi 5-0

OLEH AFIX REDZUAN

GLOBAL, 15 JUN: Rusia membuka tirai Piala Dunia 2018 dengan penuh bergaya apabila membelasah Arab Saudi 5-0 dalam aksi pembukaan Kumpulan A di Stadium Luzhniki awal pagi tadi.

Selaku tuan rumah, Rusia tidak menunggu lama untuk di hadapan 1-0 menerusi tandukan Yuri Gazinsky pada minit ke-12 hasil hantaran lintang Aleksandr Golovin.

Fedor Smolov hampir menjadikan kedudukan 2-0 buat Rusia selang tiga minit kemudian tetapi percubaannya ditepis keluar penjaga gol Arab Saudi, Abdullah Al Muaiouf.

Arab Saudi juga berpeluang untuk mencipta jaringan pada minit ke-22 tetapi usaha Muhammad Al-Sahlawi dihalang pertahanan lawan.

Malang buat tuan rumah apabila kehilangan khidmat tonggak serangan, Alan Dzagoev pada minit ke-24 susulan kecederaan hamstring dan digantikan oleh Dennis Cheryshev.

Keadaan itu tidak melunturkan semangat Rusia apabila Cheryshev membalas kepercayaan pasukan apabila menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-42.

Berpunca daripada hantaran Roman Zobnin ke dalam kotak penalti, Cheryshev tenang mengawal bola walaupun diasak tiga pertahanan Arab Saudi sebelum melepaskan rembatan kaki kiri.

Bersambung babak kedua, Rusia terus bernafsu menambah jaringan 3-0 hasil tandukan pemain gantian Artem Dzyuba pada minit ke-71.

Golovin yang menjadi penggerak pada jaringan pertama terus mempamerkan kecemerlangan apabila hantarannya berjaya disudahkan Dzyuba menerusi tandukan cantik walaupun baru dimasukkan seminit sebelum itu bagi menggantikan Fedor Smolov.

Menuju minit akhir permainan, Cheryshev mempamerkan kecemerlangan sekali lagi apabila menghadiahkan gol keempat Rusia menerusi rembatan cantik kaki kiri yang terus menerjah jaring menewaskan Abdullah.

Golovin memastikan hari gemilang Rusia dengan gol kelima pada penghujung permainan hasil sepakan percuma.

Kredit Foto: Facebook FIFA World Cup


Pengarang :