SELANGOR

Worldwide Holdings serah zakat RM2.51 juta

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 11 JUN: Worldwide Holdings Berhad menyerahkan sumbangan zakat perniagaan sebanyak RM2.51 juta kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS), di Pusat Konvensyen Shah Alam, di sini, baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datin Paduka Norazlina Zakaria berkata, pihaknya turut menyampaikan sumbangan Aidilfitri RM100,000 kepada badan bukan kerajaan dan pertubuhan kebajikan.

Katanya, ia termasuk Islamic Relief Malaysia, Aman Palestin Berhad, Humanitarian Care Malaysia Berhad (MyCARE), Hidayah Centre Foundation, Pusat Jagaan dan Rawatan Orang Tua Al- Ikhlas, Puchong dan Pusat Jagaan Anak Yatim dan Miskin Sri Kundang.

“Sebanyak RM127,000 turut diberi kepada asnaf di Sabak Bernam, Jeram, Kuala Selangor dan Kuala Langat sebagai program tanggungjawab sosial korporat (CSR) sepanjang tahun khususnya, pada bulan Ramadan serta hari raya.

“Inisiatif ini diwujudkan sebagai tanda keprihatinan syarikat kami mensejahterakan komuniti melalui konsep ‘giving back to community’, kami tidak fokus kepada perniagaan semata-mata tetapi turut menyumbang ke arah pembangunan masyarakat dan komuniti yang memerlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika majlis berbuka puasa dan penyampaian sumbangan yang turut dihadiri kira-kira 200 kakitangan Worldwide Holdings.

Pada majlis sama, Norazlina turut mengumumkan Worldwide Holdings akan memberi bantuan Aidilfitri kepada hampir 250 kakitangannya.


Pengarang :