SELANGOR

Yakin Dato’ Menteri Besar baharu terus legasi kecemerlangan Selangor

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 19 JUN: Kecemerlangan konsep Selangor ‘Smart State’ yang dibawa Mantan Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali mampu membantu Amirudin Shari dalam memacu negeri ini ke arah lebih tinggi.

Exco Agama Islam, Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin berkata, Mohamed Azmin telah menggagaskan konsep tersebut untuk kemajuan negeri manakala konsep Maqasid Shariah dalam pentadbiran negeri sementara prinsip Fastabiqul Khairat iaitu berlumba-lumba dalam melakukan amal kebajikan.

“Berteraskan asas dan konsep yang kukuh ini, saya yakin legasi cemerlang yang dibawa Mohamed Azmin dapat diteruskan Dato’ Menteri Besar baru, Amirudin Shari dan barisan kepimpinannya.

“Amirudin akan mampu terus melakar sejarah memakmurkan negeri Selangor yang dibangunkan bukan sahaja dari aspek pembangunan fizikal tetapi turut
menggerakkan pembangunan manusiawi rakyat Selangor,” katanya dalam kenyataan kepada SelangorKini.

Shaharuddin berkata, jawatan Menteri Hal Ehwal Ekonomi yang digalas Mohamed Azmin pula sudah pastinya akan meningkatkan lagi potensi pembangunan ekonomi negara.

“Saya yakin berdasarkan pengalaman cemerlang di Selangor, Mohamed Azmin mampu menggalas tanggungjawab tersebut, dan kami di Selangor mendoakan yang terbaik.

“Tidak lupa tahniah kepada Amirudin Shari yang dilantik sebagai Dato’ Menteri Besar Selangor yang baru,” katanya.

=EZY=


Pengarang :