NASIONAL

Zuraida menteri pertama PAKATAN lawat Sarawak

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 21 JUN: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamarudin menjadi menteri Pakatan Harapan (PAKATAN) pertama membuat lawatan rasmi ke Sarawak, semalam selepas kemenangan parti itu dalam Pilihan Raya Umum ke 14.

Ketika kerajaan di bawah pemerintahan Barisan Nasional (BN), beliau antara beberapa pemimpin PAKATAN yang dihalang daripada memasuki Sarawak.

Ketua Wanita PKR itu dijadualkan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada pukul 11 ​​pagi semalam, lapor The Borneo Post.

Ketibaan Zuraida disambut Naib Pengerusi PKR Sarawak, See Chee How, Anggota Parlimen Saratok Ali Biju dan Anggota Parlimen Miri Dr Michael Teo Yu Keng bersama hampir 100 penyokong parti itu.

Zuraida akan mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr Sim Kui Hian sebelum meneruskan lawatannya kepada Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Beliau juga dijadual membuat lawatan rasmi ke Majlis Perbandaran Padawan (PMC) serta ke tapak Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sungai Tengah, sebelum persinggahan terakhirnya ke ibu pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat (Bomba).

Lawatan itu dijangka memberi fokus dalam sektor perumahan dalam usaha menunaikan janji manifesto PAKATAN untuk membina satu juta rumah mampu milik di Malaysia bagi membantu rakyat khusus golongan belia dalam memiliki rumah pertama mereka.

Selain itu, PAKATAN juga berjanji memperbaiki dasar perumahan negara termasuk skim pinjaman perumahan khas.

Zuraida dalam laman facebooknya berkata, beliau terharu menerima sambutan yang luar biasa daripada rakyat di negeri itu sejurus mendarat di Lapangan Terbang Miri.

“Sambutan sangat meriah sebaik sahaja saya mendarat di Kuching, Sarawak. Terharu dengan sokongan rakyat Sarawak,” katanya yang juga Ahli Parlimen Ampang.

Kali terakhir Zuraida dihalang memasuki ke negeri bumi kenyalang itu pada September tahun lalu, manakala pertama kalinya beliau ditolak adalah pada 2013.

Bagaimanapun, selepas kemenangan PAKATAN, Pengarah Imigresen Sawarak Ken Leben mengesahkan kerajaan Sarawak telah menarik balik larangan masuk yang dikenakan ke atas pemimpin parti itu, pada 23 Mei lalu.

Sementara itu, Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke juga antara pemimpin yang kini bebas masuk ke Sarawak.


Pengarang :