SELANGOR

1,000 hadiri tahlil di DUN Sungai Kandis

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 6 JULAI: Lebih 1,000 penduduk Sungai Kandis mengadakan majlis tahlil selama tiga hari berturut di kebanyakan masjid dan surau kawasan itu.

Timbalan Pengerusi Masjid An Naim Jalan Kebun, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, majlis itu untuk membalas jasa dan mengenang pengorbanan Shuhaimi Shafiei sebagai Ahli Dewan Negeri Sri Muda dan Sungai Kandis.

Katanya, kebanyakan penduduk masih berdukacita dan bersedih atas pemergian Allahyarham yang meninggal dunia, pada 2 Julai lalu akibat kanser limfoma.

“Majlis itu sebagai tanda terima kasih dan mengenang jasa baik dilakukan Allahyarham selama dua penggal menjadi wakil rakyat.

“Beliau mudah dihubungi dan ringan tulang untuk membantu. Kalau tidak sempat mengangkat panggilan telefon, pasti dia akan membalas pesanan disampaikan melalui media sosial”, katanya.

Zawawi menyifatkan kehilangan Allahyarham sesuatu yang amat dirasakan semua lapisan masyarakat dan sukar dicari ganti setara dengannya.

Katanya, keprihatinan pemimpin berjiwa rakyat benar-benar diterjemahkan Allahyarham yang sentiasa memberikan keutamaan kepada pembangunan dan kesejahteraan masyarakat.

“Masjid Al Falah Jalan Kebun antara usaha beliau untuk memastikan keselesaan penduduk dalam menjalani ibadah kerana sebelum ini solat Jumaat hanya diadakan di Masjid An Naim yang agak jauh sebelum dinaik taraf.

“Kami di sini mengharapkan supaya pemimpin yang akan menggantikan Allahyarham dapat meneruskan agenda membangun desa dan kota yang aman serta sejahtera dengan penuh keikhlasan juga semangat untuk membela nasib rakyat di kawasan ini,” katanya.


Pengarang :