PBTSELANGOR

24 Ahli Majlis MBPJ angkat sumpah

OLEH SHEEDA FATHIL

PETALING JAYA, 27 JUL: Seramai 24 Ahli Majlis mengangkat sumpah secara rasmi menerima jawatan selaku Ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di hadapan Dato’ Bandar Petaling Jaya, Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain.

Pelantikan tersebut bertujuan mengisi kekosongan kerusi Ahli Majlis MBPJ bagi sesi 2018/2020, dan majlis berkenaan diadakan di Ibu Pejabat MBPJ, di sini, hari ini.

Daripada jumlah tersebut, seramai 11 orang terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), 10 Parti Gerakan Demokrasi (DAP); 2 (AMANAH) dan seorang daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Manakala, daripada jumlah itu pula, seramai 13 muka baharu dilantik sebagai Ahli Majlis antaranya Anwar Nekhan (KEADILAN); Chan Pak Keung (KEADILAN); Nurainie Haziqah Shafi’i (KEADILAN); Farhan Haziq Mohamed (DAP); Leong Chee Cheng (DAP); Ong Yew Thai (DAP); Loyis Uding (DAP); Quratulain Atiqah Norzahirul Anuar (DAP); K Thayalan (DAP); Pua Ghin Chu (DAP); Rahibah Che Omar (AMANAH); Mohd Salleh Ishak (AMANAH) dan Mohamad Shakirien Dato’ Abd Razak (PPBM).

Selain itu, 11 muka lama yang kekal antaranya Ahmad Akhir Pawan Chik (KEADILAN); G Suriase (KEADILAN); Tang Fuie Koh (KEADILAN); Ong Swee Long (KEADILAN); Derek John Fernandez (KEADILAN); Ermeemarianna Saadon (KEADILAN); A Sugumaran (KEADILAN); Raja Fairuz Raja Mazlan (KEADILAN); Terence Tan Teck Seng (DAP); Wong Swee Sang (DAP) dan Elaine Magdaline Nathaniel (DAP).

Majlis Perakuan Menerima Jawatan Ahli Majlis MBPJ itu turut disaksikan beberapa Ahli Majlis yang pernah dilantik, sebelum ini.

Sementara itu, Mohd Azizi berkata, beliau optimis komposisi Ahli Majlis dilantik sama ada muka baharu atau lama dapat memberikan kerjasama sepenuhnya dan komited melaksanakan tugas diamanahkan.

“Kebanyakan Ahli Majlis dilantik ini hadir daripada golongan belia, jadi saya berharap semoga golongan senior dan belia dapat bekerjasama dan bertukar pandangan memandangkan masing-masing mempunyai latar belakang dan kepakaran berbeza.

“Semoga kesemua Ahli Majlis ini dapat bekerjasama dan menjalin hubungan lebih akrab dengan masyarakat di kawasan masing-masing tanpa mengira kaum bagi menggalakkan masyarakat untuk turut sama ke arah merealisasikan hasrat MBPJ menjadikan Petaling Jaya sebuah bandar raya Peneraju, Dinamik dan Lestari,” katanya.

Ahli Majlis dilantik itu menggalas tanggungjawab sebagai penggubal dasar MBPJ selari dengan dasar Kerajaan Negeri selain menggerakkan masyarakat untuk melibatkan diri secara langsung dalam program dianjurkan serta sebagai perantara antara Majlis dan warga Petaling Jaya.


Pengarang :