SELANGOR

266 penagih dadah dalam pengawasan AADK Kuala Selangor

OLEH NADIAH ZAMLUS

KUALA SELANGOR, 11 JULAI: Seramai 266 penagih dadah berada dalam kelompok Orang Kena Pengawasan (OKP) di bawah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) daerah Kuala Selangor.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli berkata, daripada jumlah berkenaan, 260 adalah lelaki dan selebihnya wanita.

Katanya, kebanyakan daripada mereka terdiri daripada penagih berusia antara 30 hingga 40 tahun, di Kuala Selangor dan Tanjung Karang.

“Saya dimaklumkan AADK Kuala Selangor, ada sebahagian kecil OKP terdiri daripada pelajar, justeru saya amat berharap ibu bapa khasnya memantau aktiviti anak mereka tidak kira masa.

“Sebagai ADN, saya menyeru orang ramai dan anak muda khususnya supaya tidak terjebak dengan najis dadah. Jangan sesekali mencuba kerana apabila sudah cuba, pasti rasa ketagih itu akan datang,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran AADK daerah Kuala Selangor.

Juwairiya berkata, sokongan dan kata semangat dilihat mampu membantu golongan OKP berdepan masalah ketagihan dan kembali memulakan kehidupan lebih baik.

“Masyarakat atau keluarga sama sekali tidak boleh meminggirkan golongan ini kerana situasi itu akan menyebabkan OKP kembali terbabit dalam penyalahgunaan dadah.

“Mereka ini perlu diberi bantuan, ruang dan peluang oleh masyarakat serta anggota keluarga untuk berubah dan pulang ke pangkal jalan,” katanya.


Pengarang :