PENDIDIKANSELANGOR

48 sekolah daerah Petaling Utama ikuti Program Intervensi

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 14 JUL: Sebanyak 48 sekolah daerah Petaling Utama, menyertai Majlis Pelancaran Program Intervensi Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Peperiksaan Malaysia (STPM) yang dianjurkan Pertubuhan Perintis Malaysia (MyPerintis).

Program itu turut mendapat kerjasama bersama Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Petaling Utama.

Program Intervensi itu diadakan secara berperingkat bermula dengan 23 sekolah rendah membabitkan calon UPSR seramai 2,500 pelajar yang sudah dimulakan sesinya pada 30 Jun lalu dan akan berakhir 21 Julai ini.

Pengasas MyPerintis, Dato’ Lawrence Low berkata, program intervensi yang berjalan selama satu jam itu bertujuan meningkatkan tahap motivasi pelajar.

“Idea keseronokan dalam proses pembelajaran jarang sekali terlintas dalam fikiran pelajar dan ada segelintir yang sukar untuk memahaminya.

“Oleh itu Youth Influencer kami, Karmen Lee akan memperkenalkan persepsi baharu untuk pelajar bahawa pembelajaran merupakan proses menarik dan menyeronokkan,” katanya dalam kenyataan.

Lawrence berkata, selain memberikan pelajar motivasi dalam Program Intervensi, ia juga memfokuskan penerapan nilai murni yang penting seperti kejujuran, bekerja keras dan berdisiplin seperti sudah diterapkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga selaku penaung MyPerintis.

“Menerusi Program Intervensi, pelajar dapat mengatasi tekanan mereka dengan lebih baik sekali gus mengubah persepsi terhadap peperiksaan dan pada masa sama masih menikmati proses pembelajaran dengan seronok.

“Selain itu, ia bertujuan membantu pelajar memberi gambaran mengenai kehidupan dalam persediaan untuk memulakan pendidikan mereka di sekolah menengah dan peringkat universiti,” katanya.

Justeru, katanya, program itu selaras dengan inisiatif yang dinyatakan Menteri Pendidikan, Maszlee Malik yang mahukan proses pembelajaran menyeronokkan sekali gus membawa sistem pendidikan ke era baharu.

“Keseronokan memberi impak positif terhadap tahap motivasi dan sekiranya pengalaman itu menyeronokkan, pelajar akan mempunyai sikap ingin tahu serta terus bersemangat untuk menjalani pelajaran mereka,” katanya.

=EZY=


Pengarang :