SELANGOR

5,000 hadir rumah terbuka MPAJ Ala Kampung

OLEH NORHAYATI UMOR

AMPANG, 3 JUL: Bertemakan ‘Ala Kampung’, Rumah Terbuka Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) disambut meriah dengan kunjungan kira-kira 5,000 orang.

Yang DiPertuanya, Abd Hamid Hussain berkata, rumah terbuka MPAJ itu adalah istimewa kerana majlis terbabit diadakan diluar kawasan pejabat MPAJ.

Katanya, pihaknya memilih Taman Melawati kerana kawasan yang besar selain memberi penghargaan kepada penduduk terbabit kerana memberi sumbangan baik kepada pendapatan MPAJ.

“Walaupun hujan, tetapi kehadiran pengunjung tidak menghampakan.

“Uniknya, rumah terbuka yang bertemakan kampung ini, setiap jabatan menguruskan 20 gerai pelbagai jenis makanan dan menghiaskan gerai-gerai mereka mengikut tema yang diberikan,” katanya ketika ditemui.

Abd Hamid berharap dengan sambutan diberikan itu, orang ramai terus menyokong dan memberi sambutan menggalakkan bagi program MPAJ lain.

Hadir memeriahkan rumah terbuka itu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Mohamed Azmin turut memotong pulut kuning sempena Ulang Tahun MPAJ ke 26, 1 Julai lalu.

Sebanyak 20 gerai dengan pelbagai hidangan disediakan antaranya sate, kambing golek, mee rebus, aneka sup, dan hidangan klasik ubi rebus selain lemang serta ketupat.

Majlis itu menjadi landasan untuk menonjolkan kekayaan budaya dan warisan seni masyarakat Melayu.

Selain dijamu dengan pelbagai hidangan hadirin turut dihiburkan dengan persembahan tarian dan nyanyian.

 


Pengarang :