PBTSELANGOR

5R Adventure didik budaya jaga kebersihan

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 10 JULAI: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) melancarkan program 5R (recycle, reuse, reduce, rethink & reinvent) Adventure di bawah Program Low Carbon Cities Framework dan Program Kitar Semula Sekolah, di Petaling Jaya mulai 10 Julai hingga 30 September ini.

Pihak Berkuasa Tempatan itu dalam kenyataan berkata, program julung kali berkenaan bertujuan memupuk sifat kecintaan dan amalan kitar semula dalam kalangan kanak-kanak serta pelajar sekolah.

Katanya, sebanyak 86 sekolah rendah dan menengah serta 100 tadika akan menyertai program itu.

“Sekolah dan tadika yang berjaya mengumpul hasil jualan kitar semula (per kapita) berpeluang menerima hadiah berupa wang tunai ditaja sepenuhnya Syarikat Fraser & Neave Holdings Bhd (F&N).

“Barangan kitar semula yang akan diambil kira adalah kertas, plastik, tin aluminium, kotak dan bekas kotak minuman.

“F&N selaku penaja berperanan membantu MBPJ dengan mengadakan lawatan ke tadika di Petaling Jaya untuk memberi didikan berkenaan penjagaan alam sekitar,” katanya.

MBPJ berkata, hampir RM10,000 hadiah bakal ditawarkan antaranya tempat pertama kutipan kitar semula tertinggi bagi tadika sejumlah RM800; kedua (RM500) dan ketiga, RM200.

Manakala, hadiah istimewa untuk kutipan tin dan minuman tertinggi masing-masing menerima RM300.

Sementara itu, kategori sekolah rendah dan menengah tempat pertama masing-masing bakal menerima RM1,000; kedua (RM900); ketiga (RM800); keempat (RM700) dan kelima (RM600).

Hadiah sagu hati juga akan diberikan untuk tempat keenam sehingga ke-10 sejumlah RM300.

Turut diperkenalkan Anugerah Khas Kutipan Aluminium Tertinggi, Anugerah Khas Kutipan Plastik Tertinggi dan Anugerah Khas Kutipan Kotak Minuman Tertinggi masing-masing akan menerima RM500.


Pengarang :