SELANGOR

660 pelajar empat institusi dapat tajaan mulakan latihan vokasional

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 5 JUL: Seramai 660 pelajar daripada empat institusi mendapat tajaan Yayasan Raja Muda Selangor (YMRS) bagi memulakan latihan vokasional menerusi satu kerjasama strategik institusi terbabit.

Pelajar daripada golongan berpendapatan rendah terbabit terdiri daripada 120 pelajar di Selangor Human Resource Development Centre (SHRDC) dengan tajaan di antara RM300 hingga RM600 sebulan untuk setiap pelajar mengikut jenis kursus masing-masing.

Sementara itu Institut Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) pula melibatkan tajaan yuran pelbagai jumlah sekitar RM300 untuk 250 pelajar.

Seramai 250 pelajar Kolej Komuniti seluruh negara pula menerima tajaan yuran pengajian berjumlah RM400 dan seramai 40 pelajar di Next Academy pula menerima tajaan yuran pengajian sebanyak RM3,540 bagi mengikuti kursus ‘Front-End Web Development’.

Kerjasama strategik itu dimeterai dalam Majlis Menandatangani Memorandum, Nota Persefahaman dan Kenyataan Bersama antara kesemua pihak terlibat di (SHRDC) yang disaksikan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah di SHRDC di sini, hari ini.

Upacara menandatangani MoU itu turut disaksikan Dato’ Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari dan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Pada majlis itu, YRMS diwakili oleh Izhar Moslim dan Kementerian Belia dan Sukan pula diwakili oleh Ketua Setiausaha kementerian terbabit, Datuk Lokman Hakim Ali.

Sementara itu, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Kementerian Pendidikan Malaysia diwakili Ketua Pengarahnya, Prof Datuk Dr Mohd Ismail Abd Aziz; Next Academy diwakili Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Audrey Ling dan SHRDC diwakili Pengarah Eksekutif, Tan Beng Teong.


Pengarang :