SELANGOR

78 bakal haji muassasah DUN Sungai Kandis terima insentif

OLEH AFIX REDZUAN

SUNGAI KANDIS, 13 JUL: Seramai 78 bakal haji muassasah menerima insentif haji bernilai RM500 setiap seorang yang disumbangkan Kerajaan Negeri menerusi Pemerbadanan Menteri Besar (MBI).

Penyerahan sumbangan disempurnakan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari serentak merasmikan Majlis Mesra Rakyat Aidilfitri di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis yang berlangsung di Masjid An-Naim, Kampung Batu 7, Jalan Kebun.

Hadir sama Ketua Pegawai Operasi MBI, Soffan Affendi Aminudin dan Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) MBI, Mohd Jaafarudin Md Ali.

Bagi musim haji 1439H/2018, seramai 6,500 daripada 7,500 bakal haji dari Selangor merupakan bakal haji muassasah dengan peruntukkan sumbangan keseluruhan berjumlah RM3.25 juta.

Amirudin dalam ucapannya berkata, menjadi tanggungjawab masyarakat untuk bersama berlumba melakukan kebaikan (Fastabiqul Khairat) seperti semangat yang disuburkan Kerajaan Negeri.

Dalam majlis sama, beliau turut mengumumkan sumbangan berjumlah RM100,000 buat Masjid An-Naim bagi membolehkan kerja naik taraf dilakukan hasil sumbangan Pejabat Menteri Besar dan MBI.


Pengarang :