NASIONAL

ABIM gesa ahli Dewan Rakyat lebih matang

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 19 JULAI: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menyeru semua ahli parlimen mempamerkan sikap kepimpinan, teladan baik, berakauntabiliti dan profesional sepanjang tempoh persidangan Parlimen ke-14 berlangsung.

Presidennya, Mohamad Raimi Ab Rahim berkata, ABIM memandang berat sikap dan mutu perbahasan dipamerkan sesetengah ahli Dewan Rakyat, pada sidang Parlimen ke-14 yang berlangsung sejak semalam.

Katanya, permulaan sidang Parlimen ke-14 sangat penting untuk rakyat menilai prestasi pemimpin dan wakil rakyat yang dipilih.

“Memandangkan institusi Parlimen merupakan badan perundangan tertinggi di negara ini, ABIM menuntut seluruh wakil rakyat yang dipilih bertanggungjawab mengemukakan perbahasan berkualiti, rasional dan matang sesuai semangat demokrasi serta perubahan yang ingin dicetuskan.

“Mereka seharusnya membuat persiapan awal dan rapi bagi memastikan setiap sesi dapat dilalui dengan sesi soal jawab serta perbahasan yang mempunyai inti pati signifikan juga bermaklumat,” katanya dalam kenyataan.

Mohamad Raimi berkata, ABIM berharap setiap anggota Dewan Rakyat atau Dewan Negara menumpukan perhatian untuk memenuhi agenda serta dasar mengangkat isu rakyat yang menyantuni kebajikan mereka seiring dengan pembangunan negara.

Katanya, hujah juga seharusnya disampaikan dengan menggunakan laras Bahasa Kebangsaan yang betul supaya sejajar dengan imej institusi Parlimen, yang mempunyai kedudukan tersendiri.

“Parlimen tidak sepatutnya dijadikan tempat untuk membicarakaan isu remeh sehingga mengenepikan hak rakyat.

“Permulaan sidang Parlimen kali ini menandakan rakyat sudah mula memerhati dan menilai kualiti serta kewibawaan setiap seorang wakil yang mereka pilih ketika Pilihan Raya Umum ke-14 lalu,” katanya.


Pengarang :