BERITA UTAMASELANGOR

ADN Sungai Kandis, Shuhaimi Shafiei meninggal dunia

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 2 JUL: Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Kandis, Shuhaimi Shafiei disahkan meninggal dunia pada jam 11.10 pagi di Pusat Perubatan Subang Jaya akibat penyakit kanser limfoma.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dalam kenyataanya merakamkan ucapan takziah dan menyifatkan Allahyarham sebagai seorang ADN yang komited dalam melaksanakan tanggungjawab serta disenangi rakyat.

“Saya ingin merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham YB Hj Shuhaimie Shafie atas pemergian ini. Saya mendoakan semoga ahli keluarga Allahyarham diberi kekuatan dalam mengharungi ujian yang amat berat ini.

“Semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan golongan yang soleh, dicucuri rahmat Allah swt serta dikurniakan husnul khatimah,” katanya.

Katanya, pemergian Shuhaimi merupakan satu kehilangan besar buat Selangor dan KEADILAN memandangkan beliau pernah berkhdimat sebagai Setiausaha Politik kepada Dato’ Seri Azmin Ali ketika menjawat jawatan sebagai Dato’ Menteri Besar Selangor.

“Allahyarham merupakan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri yang sangat komited, bertanggungjawab dan disenangi rakyat dan rakan taulan. Allahyarham juga merupakan sahabat karib saya dan rakan seperjuangan dalam politik.

“Khidmat bakti dan pengorbanan Allahyarham kepada rakyat dan negeri Selangor adalah sangat besar dan tidak ternilai.

“Semoga Allah swt memberi ganjaran yang baik atas segala jasa dan budi Allahyarham,” katanya.

Jenazah Allahyarham akan diuruskan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam sejurus selepas selesai urusan di hospital.

Beliau kemudiannya akan disemadikan di Tanah Perkuburan Seksyen 21 Shah Alam dijangka selepas solat Asar.

Shuhaimi sebelum ini merupakan ADN Seri Muda selama dua penggal selepas memenangi PRU-12 dan 13 serta meneruskan kecemerlangan memenangi kerusi DUN Sungai Kandis pada PRU-14.

Dalam perkembangan sama, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali turut meluahkan kesedihan atas pemergian Shuhaimi yang disifatkan sebagai teman sejati sepanjang perjuangan bersama KEADILAN.

“Al Fatihah. Saya amat sedih di atas kehilangan seorang teman sejati dalam perjuangan. Semoga ruh Allahyarham Shuhaimi Shafiei ditempatkan di syurga yang penuh nikmat Allah SWT,” katanya.

Ketua Wanita Pakatan Harapan yang juga Menteri Perumahan & Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin turut berkongsi kesedihan pemergian Shuhaimi.

“Beliau merupakan seorang yang amat prihatin kepada nasib rakyat dan telah berkhidmat dengan cemerlang sebagai ADN Sungai Kandis dan juga sebelum ini sebagai Setiausaha Politik kepada Dato’ Menteri Besar Selangor.

“Ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham YB Shuhaimie Shafie. Saya berdoa semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat Allah swt dan ditempatkan di kalangan golongan yang soleh. Al Fatihah,” katanya


Pengarang :