Selangorkini
NASIONAL

Agong harap cadangan kadar gaji minima diperkenalkan

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 17 JUL: Kehidupan rakyat boleh diperbaiki dengan langkah menyamaratakan kadar gaji minima di seluruh negara.

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong, Sultan Muhammad V bertitah, ini kerana sumbangan kira-kira 15 juta pekerja amat besar kepada pembangunan negara.

“Beta berharap pengenalan inisiatif seperti penubuhan suruhanjaya, cadangan menyamaratakan kadar gaji minimum di seluruh negara dan mewujudkan lebih banyak pekerjaan akan dapat mensejahterakan mereka,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pembukaan Penggal Pertama Majlis Parlimen Ke-14 2018 di bangunan Parlimen di sini, hari ini.

Baginda turut menekankan aspek sumbangan besar golongan wanita terhadap negara membabitkan pelbagai bidang pekerjaan dan kemahiran.

Baginda turut yakin penglibatan golongan wanita dapat dipertingkatkan lagi.

“Langkah-langkah menggilap potensi, kemahiran serta menggalakkan mereka untuk terus memberi sumbangan kepada masyarakat dan negara perlu diperkasakan,” titah baginda.

Bagaimanapun baginda bertitah, aspek penjagaan institusi keluarga perlu diberi keutamaan.


Pengarang :