PBTSELANGOR

Ahli Majlis baharu MPS angkat sumpah

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 27 JUL: Seramai 15 muka baru dilantik sebagai Ahli Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan telahpun mengangkat sumpah bermula semalam.

Menariknya kali ini, hampir separuh daripada lantikan baru itu terdiri daripada ahli majlis wanita.

Mereka ialah, Choy Pooi Yee, Zuraidah Abdul Majid dan Norridah A. Wahab daripada KEADILAN, sementara P. Mariammal S. Ponnusamy daripada DAP, Anfaal Saari mewakili Amanah, sementara Datin Sharifah Salmah Syed Agil dan Puspa Rizal Mohammad daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Lapan lagi muka baru ialah Saravanan Muniandy, Deveandran Selvaraju, Mohd Azahari Daud dan Mohammad Faizal Ismail daripada KEADILAN. Mewakili DAP ialah, Muhammad Najmi Samsudin dan U Chin Ong, sementara Mohd Kassim Packiry dan Wan Anwar Wan Ibrahim pula daripada Amanah.

Secara keseluruhannya seramai 21 ahli majlis MPS akan berkhidmat dari 1 Julai hingga 31 Disember 2020.

Yang Dipertuanya, Suliman Abd Rahman berkata, pihaknya berharap supaya dapat mencapai hasrat kerajaan dengan 30 peratus kuota lantikan terdiri daripada ahli majlis wanita.

Katanya, MPS juga akan mengadakan kursus bagi ahli majlis memahami peranan serta tanggungjawab majlis tersebut.

“Kami mahu supaya ahli majlis ini memahami apa fungsi MPS kepada masyarakat setempat, dan sudah tentu mengharapkan idea baru daripada ahli majlis untuk menambahbaikkan mutu perkhidmatan MPS.

“Sebagai ahli majlis, mereka juga memainkan peranan penting iaitu sebagai penasihat dalam pembuat dasar, juga bertindak sebagai penghubung antara MPS dan juga masyarakat,” katanya.

 


Pengarang :