NASIONAL

Amirudin: Sokongan Anwar jadi Presiden KEADILAN, hargai pengorbanan

OLEH NADIAH ZAMLUS

BANGI, 15 JUL: Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN, Amirudin Shari memberi sokongan penuh terhadap Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengumumkan bertanding dalam pemilihan Presiden KEADILAN.

Amirudin yang juga Dato’ Menteri Besar Selangor berkata, beliau menyokong Anwar sebagai Presiden sejak 2013 lagi memandangkan pengorbanan dilakukannya begitu tinggi.

“Saya juga melihat pengorbanan Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dengan memberi laluan kepada suaminya begitu tinggi.

“Anwar layak memegang tugas sebagai ketua pimpinan parti kerana tidak lama lagi beliau juga akan memegang jawatan Perdana Menteri Malaysia, jadi inilah jawatan yang selayaknya disandang oleh beliau,” katanya kepada media.

Amirudin turut memberitahu beliau tidak menafikan jasa Wan Azizah yang selama ini telah memegang tampuk kepimpinan Presiden KEADILAN.

“Saya tidak menafikan jasanya, malah saya menghormati komunikasi antara Wan Azizah dan juga Anwar, ini pengorbanan yang amat besar,” katanya.

Terdahulu, Anwar dilaporkan mengumumkan untuk menawarkan diri bertanding dalam pemilihan Presiden KEADILAN.

Anwar dalam satu kenyataan berkata, perkara demikian diputuskan setelah berbincang dengan Wan Azizah dan kepimpinan, serta mengambilkira segenap pandangan dan keperluan demi kelangsungan KEADILAN.

Wan Azizah mengemudi KEADILAN selaku Presiden sejak tahun 1999 dengan pelbagai cabaran, mehnah dan tribulasi, kata Anwar.

=EZY=


Pengarang :