SELANGOR

Amirudin terima wawacara khas dengan Selangor FM

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 27 JUL: Isu Air, perumahan dan juga kebajikan rakyat diantara perkara disentuh ketika Program Wawancara Khas Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari bersama radio Selangor FM.

Amirudin ditemubual hampir satu jam oleh penyampai Selangor FM yang dikenali sebagai Dassky bermula jam 12 tengah hari semalam.

Melalui wanwancara khas itu, Amirudin menekankan Selangor komited menyediakan kemudahan perumahan buat penduduk di negeri ini.

Katanya, Kuala Lumpur yang menjadi ‘jiran’ Selangor pesat dengan kegiatan ekonomi sekaligus membuatkan kebanjiran pekerja.

“Kesemua pekerja ini memerlukan rumah, dan rata-ratanya memilih untuk tinggal di Selangor termasuk Kajang, Ampang, Petaling Jaya dan Gombak.

“Disebabkan itu, kita sedang dalam pembinaan 20,000 unit rumah yang berharga daripada sekitar RM42,000 hingga RM250,000, ia sudahpun dalam pembinaan, dan diharapkan supaya ia dapat menampung jumlah permintaan perumahan oleh kumpulan ini,” katanya.

Dalam masa yang sama isu air turut menjadi fokus bual bicara berkenaan, Amirudin dalam nada tenang memberitahu isu itu sudahpun hampir selesai.

“Ia bukan lagi berada di tahap membimbangkan, namun kita tetap memandang serius kerana jika Kerajaan Negeri gagal menyediakan bekalan air yang cukup, maka ia sudah tentu menggangu pembangunan yang sedia ada.

“Tidak guna hanya ada pembangunan rancak tetapi masalah air membelenggu rakyat, kita mahu isu air ini ditangani dengan baik dan mensasarkan Selangor mempunyai bekalan air mencukupi tidak lama lagi dan memberi bekalan yang selamat kepada rakyatnya,” katanya.

Pada penghujung temubual, Amirudin turut ditanya mengenai medium media sosial yang menjadi penghubungnya dengan rakyat Selangor.

“Media sosial termasuk facebook, instagram dan twitter sudah menjadi medium kepada rakyat Selangor untuk membuat aduan kepada saya secara terus.

“Malah ia adalah ruang berkomunikasi dengan rakyat sekaligus mengurangkan protokol, dan adalah menjadi harapan saya supaya tiada rakyat Selangor tersisih dalam menikmati kemajuan di negeri ini,” katanya.


Pengarang :