SELANGOR

Anwar, Mukhriz bakal gegar Sungai Kandis

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KLANG, 23 JULAI: Datuk Seri Anwar Ibrahim akan turun padang berkempen bagi membantu calon KEADILAN, Mohd Zawawi Ahmad Mughni menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, Ketua Umum Pakatan Harapan (PAKATAN) itu sudah memaklumkan kesediaannya untuk hadir berkempen, pada hujung minggu ini.

“Selain Anwar, Naib Presiden PAKATAN, Datuk Seri Mukhriz Mahathir juga menyatakan kesediaan turun padang membantu calon kita.

“Pada masa sama, saya dimaklumkan akan ada lebih ramai lagi pimpinan negeri dan Pusat yang akan hadir setidak-tidaknya hujung minggu ini memandangkan bahang PRK Sungai Kandis semakin dirasai,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Bilik Gerakan Utama KEADILAN DUN Sungai Kandis, di Jalan Bukit Kemuning, petang ini.

PRK DUN Sungai Kandis bakal berlangsung pada 4 Ogos ini susulan kematian penyandangnya, Shuhaimi Shafiei yang meninggal akibat kanser limfoma.

Pada masa sama, Amirudin berkata, fokus utama dan gerak kerja kempen KEADILAN perlu diteruskan bagi memastikan parti itu memenangi jumlah majoriti lebih tinggi.

“Ini bukan soal kemenangan semata-mata tetapi membabitkan harapan dan prospek perubahan serta pemuliharaan negara yang rosak ekoran pentadbiran Kerajaan Persekutuan dulu.

“Justeru, tidak timbul dibolehkan untuk memenangkan calon Barisan Nasional (BN) kerana matlamat kita adalah memastikan kemenangan ini dikekalkan dan keutamaan rakyat terus diutamakan,” katanya.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu, KEADILAN memenangi kerusi DUN Sungai Kandis dengan majoriti 12,490 undi daripada jumlah undian 23,998.

PRK DUN Sungai Kandis menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara wakil KEADILAN dan calon BN, Datuk Lokman Noor Adam dan calon Bebas, Murti Krishnasamay.


Pengarang :