BERITA UTAMAGLOBALNASIONAL

Anwar terus terima kunjungan, terbaharu Shaikh Yusuf Al-Qaradawi

OLEH: MOHD EZLI MASHUT

TURKI 24 JUL: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim terus menerima kunjungan tetamu istimewa ketika beliau sedang menerima rawatan selepas selesai pembedahan di Turki.

Yang terbaharu adalah ulama terkenal, Shaikh Yusuf Al-Qaradawi apabila kebetulan turut berada di negara itu.

Kata Anwar, Qaradawi pernah mengutus surat kepada beliau ketika menjalani rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) baru-baru ini.

“Hari Jumaat lepas (21 Julai) saya telah meluangkan masa bersama-sama Syeikh Yusuf al-Qaradawi yang turut berada di Turki.

“Qaradawi turut menambah betapa dakwah perlu disemarak untuk mendalami kefahaman Islam dan menolak fanatisme kelompok (assabiyah) yang angkuh lagi jumud.

“Dukungan berterusan ini pastinya amat bermakna buat saya. Semoga Syeikh Yusuf al-Qaradawi terus diberi kesihatan yang baik dan sentiasa dalam lindunganNya,” kata Anwar di laman sosial Facebooknya.

Sebelum ini, pada 19 Julai Anwar menerima kunjungan Menteri Kesihatan Turki, Dr. Fahrettin Koca dan bekas Perdana Menteri Turki, Ahmed Davudoğlu apabila turut menziarahi Anwar yang masih menjalani tempoh pemulihan rentetan pembedahan yang dijalaninya.

“Persahabatan terjalin antara mereka sejak Anwar menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri puluhan tahun dulu kekal utuh dan akrab hingga kini.

“Banyak dibincang, terutama perihal demokrasi di dunia Islam dan cabaran harus ditanggapi dalam memaknai perubahan. Semoga persahabatan terus erat demi kedua-dua negara,” kata Anwar.

Pada 17 Julai lalu, Menteri Perindustrian dan Teknologi Turki Mustafa Varank, sempat menziarahi Anwar di sini.

Katanya beliau tersentuh dengan keprihatinan diberikan meskipun Mustafa Varank dalam kekangan waktu menumpukan perhatian memperingati ulang tahun ke-2 Hari Kemenangan di Ankara.

Mereka sempat berbual mesra dan bertukar pendapat tentang hubungan baik Malaysia-Turki dalam gagasan besar perubahan kedua-dua negara.

 


Pengarang :