BERITA UTAMANASIONAL

Anwar umum tanding Presiden KEADILAN

OLEH: MOHD EZLI MASHUT

SHAH ALAM 15 JUL: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan menawarkan diri untuk bertanding dalam pemilihan Presiden KEADILAN.

Anwar dalam satu kenyataan berkata, perkara demikian diputuskan setelah berbincang dengan Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Presiden dan kepimpinan, serta mengambilkira segenap pandangan dan keperluan demi kelangsungan KEADILAN.

“Dengan penuh kesedaran atas prinsip iltizam bil jamaah, saya menawar diri untuk bertanding jawatan Presiden KEADILAN,” kata Anwar.

Anwar berkata mutakhir ini terdapat beberapa pandangan mengenai keperluan Anwar turun ke gelanggang mengemudi KEADILAN selaku Presiden menggantikan Dr Wan Azizah.

“Saya mengamati setiap pandangan dilontar dengan penuh teliti. Seyogia diingatkan, sejak Pemilihan KEADILAN tahun 2007 saya diminta untuk memimpin KEADILAN selaku Presiden.

“Namun, sekatan-sekatan yang dikenakan oleh Pendaftar Pertubuhan pada ketika itu ternyata menjadi kendala, malah lebih parah lagi membawa implikasi pembubaran parti.

“Demi maslahah lebih besar, saya memilih untuk berundur sementara Azizah kekal selaku Presiden KEADILAN,” kata Anwar.

Beliau berkata maka wajar melihat ke belakang sebagai pedoman ke hadapan, Azizah mengemudi KEADILAN selaku Presiden usai tahun 1999 dengan pelbagai cabaran, mehnah dan tribulasi.

“Namun iktikad Presiden, Timbalan Presiden, pimpinan dan akar umbi, ditambah keazaman rakyat menyaksikan kita mendobrak sejarah memimpin Pakatan Rakyat (ketika itu) bersama Azizah menafi dua pertiga Umno-BN pada PRU Ke-12.

“Dan meraih undi popular mencecah 51 peratus pada PRU Ke-13, dan melangkah gagah ke Putrajaya dengan menjadi parti komponen terbesar di Parlimen melalui muafakat Pakatan Harapan tanggal 9 Mei lepas,” katanya.

Anwar berkata jika beliau menerima mandat daripada akar umbi parti seluruh negara, beliau sedia mengemudi parti selaku Presiden selepas selesai Kongres Nasional KEADILAN pada November 2018.

 

 


Pengarang :