Selangorkini
SELANGOR SUKANKINI

ARRC: Afif intai podium di India

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 31 JUL: Pencapaian di tempat keempat pada pusingan ketiga di Suzuka, Jepun, Jun lalu, menjadi pembakar semangat Ahmad Afif Amran bagi menghadapi perlumbaan pusingan keempat Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC), di Litar Lumba Motor Madras, Chennai, India, bermula 3 hingga 5 Ogos ini.

Pelumba CKJ Yamaha Racing Team itu menyatakan prestasinya pada musim ini semakin meningkat dan penamat di kelompok lima terbaik di Jepun menunjukkan pelumba Malaysia mampu memberikan cabaran dalam kategori 250cc yang sentiasa didominasi pelumba Thailand dan Indonesia.

“Kekurangan utama kami adalah daripada segi kepantasan jentera sedikit ketinggalan jika dibandingkan dengan pelumba Indonesia dan Thailand.

“Namun, ia bukan alasan kerana faktor pelumba dan strategi perlumbaan itu sendiri paling banyak memainkan peranan serta adakala dibantu dengan nasib baik,” katanya.

Afif kini menghuni tangga ke-10 keseluruhan ARRC dengan 39 mata.

Katanya, pasukan sentiasa bekerja keras untuk memberikan yang terbaik kepada pelumba bagi menghadapi perlumbaan.

“Sebagai pelumba, saya akan cuba untuk memberikan yang terbaik, pada minggu ini.

“Selain itu, dua kemenangan dalam saingan Cub Prix turut membakar semangat dan seluruh pasukan untuk kami mencari podium, di ARRC,” katanya.


Pengarang :