NASIONAL

Azmin beri jaminan, selesai isu air Selangor

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 2 JULAI: Isu penstrukturan air negeri bakal dimuktamadkan dalam tempoh terdekat, selepas mengambil kira keperluan penyelesaian perkara itu di Selangor.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali memberi jaminan perkara itu boleh dilaksanakan demi kepentingan rakyat Selangor dan penduduk Lembah Klang umummnya.

Katanya, ia boleh direalisasikan berpandukan kepada dasar keterbukaan dan pentadbiran Putrajaya serta Negeri kini ditadbir pentadbiran Kerajaan sama.

“Sebelum ini diakui bahawa tiada kerjasama yang baik antara pentadbiran negeri dan Persekutuan sebelum 9 Mei lalu.

“Namun, selepas ini perhatian penstrukturan baru itu saya yakin dapat dicapai menerusi pertemuan antara Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini.

“Saya harap persetujuan ini mampu dicapai mengikut perjanjian utama yang dimeterai pada 2014 lalu.

“Kita berharap dalam tempoh terdekat, industri perkhimatan air ini lebih holistik dan dapat memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dengan kadar yang lebih bermanfaat,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis di Gombak Setia, semalam.

Terdahulu, kemelut penstrukturan air negeri sukar dicapai berikutan kegagalan perjanjian membabitkan kedua-dua pihak antara pentadbiran negeri dan Putrajaya sebelum ini yang ditadbir Barisan Nasional.

Pertikaian dilaporkan berlaku susulan wujudnya elemen berat sebelah yang disifatkan Mohamed Azmin sebelum ini gagal menetapi kehendak keperluan rakyat Selangor.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari turut mengesahkan pentadbiran barunya kini turut memfokuskan kepada penyelesaian isu berkenaan.


Pengarang :