SELANGOR

Azmizam teruja, lebih 5,000 hadir rumah terbuka DUN Pelabuhan Klang

OLEH NORHAYATI UMOR

PELABUHAN KLANG, 15 JUL: Ahli Dewan Negeri (ADN) Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri nyata teruja melihat lebih 5,000 rakyat kawasan berkenaan ‘menyerbu’ Rumah Terbuka Aidilfitri yang diadakan di Taman Pendamaran Permai, di sini.

Katanya, beliau terkejut dengan sambutan diberikan sehinggakan makanan yang disediakan kepada hanya 5,000 tidak mencukupi.

“Saya terkejut, sehinggakan terpaksa menambah makanan lain. Bagaimanapun, saya berterima kasih dan menghargai sambutan dan sokongan yang diberikan pengundi saya.

“Rumah terbuka ini saya sediakan khas sebagai tanda terima kasih kerana mengundi saya pada Pilihanraya Umum ke 14 yang lalu,” katanya kepada SelangorKini.

Azmizam turut menyifatkan penganjuran Rumah Terbuka itu sebagai satu kenangan manis kerana ia pertama kali diadakan selepas kawasan kubu kuat Umno itu dimiliki Pakatan Harapan.

“Istimewanya kali ini saya sebagai ADUN dan saya berharap untuk terus diberi kekuatan untuk memikul amanah yang berat ini.

“Sudah tentu rakyat mahukan penambahbaikan dan pembaharuan yang dilakukan oleh saya sebagai wakil rakyat,” katanya.

Hadir memeriahkan Rumah Terbuka itu ialah Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dan Speaker Dewan Negeri, Ng Suee Lim serta ahli Exco Kerajaan Negeri.

Pelbagai juadah disediakan antaranya, kambing bakar, sate, nasi impit, pelbagai juadah mee goreng dan ayam golek.

Turut disediakan roti canai Gana simpang Empat Teluk Gong yang popular di kalangan masyarakat kawasan berkenaan.

Difahamkan juadah terbabit disediakan oleh usahawan tempatan kawasan Pelabuhan Klang.

=EZY=


Pengarang :