GLOBAL

Banduan mewah di penjara Bandung

JAKARTA, 21 JULAI: Pelik tapi benar.

Penjara Sukamiskin di Bandung yang dikhususkan untuk pesalah rasuah, menawarkan “pakej istimewa” kepada penjenayah yang ditempatkan, di situ.

Pesalah rasuah yang menjalani hukuman boleh mendapatkan pakej “sel penjara mewah dan pakej bebas keluar masuk penjara” dengan bayaran Rp200 juta hingga Rp500 juta.

Memetik BERNAMA, bayaran itu membolehkan banduan di penjara berkenaan memegang sendiri kunci sel penjara, sekali gus membolehkan mereka bebas keluar dan masuk sesuka hati.

Timbalan Pengerusi Komisi Pemberantasan Korupsi Indonesia (KPK), Laode Muhammad Syarif berkata, KPK menahan empat suspek iaitu ketua penjara berkenaan, seorang kakitangan penjara dan dua banduan yang sedang menjalani hukuman tetapi berada di luar penjara, semalam.

Ketua Penjara Sukamiskin, Wahid Husen yang baru empat bulan menjawat jawatan itu ditahan Sabtu malam di rumahnya, di Bandung dan KPK turut menemui wang berjumlah ratusan juta rupiah, dipercayai berkaitan bayaran pakej berkenaan, kata Laode Muhammad.

Hasil siasatan dan serbuan pasukan KPK di penjara itu mendapati terdapat beberapa sel penjara diubah suai seperti kamar hotel yang dilengkapi penghawa dingin, televisyen dan peti sejuk untuk mereka (banduan) yang membayar pakej berkenaan.

Media di Indonesia melaporkan, antara banduan yang ditahan itu ialah suami kepada artis popular Indonesia era 1990an, Inneke Koesherawati.

Suaminya, Fahmi Darmawansyah, seorang usahawan dijatuhi hukuman penjara 2 tahun 8 bulan atas kesalahan rasuah, pada Mei tahun lalu.

KPK turut menyoal siasat Inneke berhubung penahanan suaminya itu.

Kementerian Uandang-Undang dan Hak Asasi Manusia Indonesia dilaporkan turut menjalankan siasatan berhubung pendedahan dan tangkapan KPK itu.


Pengarang :