PBTSELANGOR

Bayar cukai taksiran, peluang menang RM200,000

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 17 JULAI: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan melaksanakan Kempen Bayar Cukai Taksiran bersama Bank Muamalat Malaysia Berhad, bertujuan menggalakkan pemegang harta menjelaskan cukai taksiran bagi penggal kedua 2018.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya, Shahrin Ahmad berkata, kempen itu mula dijalankan pada 15 Jun hingga 31 Ogos, khusus kepada pemegang harta di kawasan pentadbirannya.

“MBSA turut menerima tajaan RM200,000 daripada Bank Muamalat Malaysia Berhad dalam bentuk pembukaan Akaun Simpanan atau Akaun Semasa di bank berkenaan.

“Kelayakan penyertaan kempen ini ialah pemilik harta yang tiada tunggakan, iaitu akaun berbaki kosong sehingga 31 Ogos 2018 dan yang membayar cukai taksiran setahun untuk 2018 serta tiada tunggakan,” katanya menerusi kenyataan.

Shahrin berkata, pemilik harta turut berpeluang memenangi cabutan hadiah menarik membabitkan tiga kategori iaitu Terbuka, Pemilik Tiada Tunggakan dan Pemilik yang Membayar Cukai Taksiran setahun bagi 2018 serta tiada tunggakan.

“Bagi Kategori Terbuka, hadiah utama merupakan Akaun Simpanan/Semasa bernilai RM50,000 seorang pemenang, Akaun Simpanan/Semasa RM30,000 seorang pemenang, Akaun Simpanan/Semasa RM4,000 untuk lima pemenang dan Akaun Simpanan/ Semasa RM2,000 untuk lima pemenang.

“Manakala, bagi Kategori Pemilik Tiada Tunggakan, lima pemenang berpeluang memenangi Akaun Simpanan/Semasa bernilai RM1,500 dan 10 pemenang akan menerima Akaun Simpanan/Semasa bernilai RM1,000 serta 12 pemenang Akaun Simpanan/Semasa sebanyak RM500.

“Sementara bagi Kategori Pemilik yang Membayar Cukai Taksiran Setahun bagi Tahun 2018 dan Tiada Tunggakan pula ditawarkan hadiah Akaun Simpanan/Semasa sebanyak RM1,500 untuk 12 pemenang.

“Selain itu, pemilik harta juga berpeluang memenangi Akaun Simpanan/Semasa bernilai RM1,000 untuk 15 pemenang dan Akaun Simpanan/ Semasa berjumlah RM500 untuk 16 pemenang,” katanya.

Bayaran boleh dibuat di Kaunter Utama, Wisma MBSA dan Pejabat Cawangan MBSA di Kota Kemuning, Sungai Buloh serta Setia Alam atau layari laman sesawang MBSA di alamat www.mbsa.gov.my.


Pengarang :