GLOBAL

Bencana empangan Laos semakin buruk

ATTAPEU 27 JUL: Hujan lebat menyukarkan usaha menyelamat mangsa yang masih hilang dalam tragedi empangan hidro elektrik runtuh di selatan Laos yang mengorbankan sekurang-kurangnya 27 orang.

Bot dan helikopter juga dihantar untuk operasi mencari beratus-ratus mangsa yang terperangkap dalam banjir lumpur selepas akses kepada jalan raya tersekat di banyak kawasan.

Vietnam dilaporkan menghantar anggota tentera dan perubatan untuk menyokong usaha menyelamat sementara Thailand mengesahkan telah menghantar bantuan berjumlah AS$150,000 (RM609,176) kepada kerajaan Laos.

Kementerian Luar China menjelaskan, pihaknya sedia memberi sokongan segera kepada usaha bantuan bencana di Laos dengan lebih 12 anggota penyelamat dari negara itu menyertai pasukan penyelamat di Sanamxai berhampiran tapak empangan semalam.

Media tempatan mengesahkan lebih 6,000 penduduk kehilangan tempat tinggal selepas Empangan Xe-Namnoy bernilai hampir AS$1.2 bilion (RM4.8 bilion) yang masih dalam pembinaan runtuh ekoran hujan lebat pada Selasa lalu.

Dua syarikat Korea Selatan yang terlibat dalam pembinaan projek itu memaklumkan, kerosakan dilapor­kan sehari sebelum empangan itu runtuh, namun menurut syarikat pengendali Korea Western­ Power Co., mendapan lebih 11 senti­meter dikesan di empangan sejak Jumaat lalu.

“Masih tidak jelas apa yang menyebabkan empangan itu mendap di beberapa tempat dan menyebabkan retakan, tetapi semua ini berlaku akibat hujan le­bat,” kata jurucakap Korea Western­ Power kepada AFP.

Projek hidro 410 megawatt itu adalah salah satu daripada lebih 50 rancangan kuasa hidro yang sedang dilaksanakan di Laos dalam usaha menjadi pengeksport kuasa utama di rantau ini.

Tetapi projek-projek itu dikecam oleh kumpulan hak asasi manusia yang menegaskan masyarakat setempat telah dipindahkan secara paksa ketika pembinaannya dan tidak diberi amaran ketika kejadian berlaku.

“Tragedi ini menambahkan lagi kesengsaraan mereka.

“Penduduk tidak diberi amaran awal. Kejadian ini menimbulkan persoalan utama me­ngenai standard dan keselamatan empangan di Laos,” kata International Rivers.

Sementara itu, ribuan penduduk di timur laut Kemboja turut menerima tempias apabila mereka juga terpaksa dipindahkan selepas air mula mengalir ke selatan sempadan.

Kementerian Sumber Air dan Meteorologi Kemboja mengeluarkan amaran berjaga-jaga di wilayah Stung Treng di sepanjang Sungai Xe-Kong dan sejak Selasa lalu, kira-kira 1,200 keluarga dipindahkan dari empat kampung di daerah Siem Pang.

“Terdapat 5,000 keluarga di seluruh daerah dan kebanyakan mereka dipindahkan ke tempat yang selamat,” kata jurucakap pihak berkuasa tempatan.

SUMBER: AFP

 


Pengarang :