SELANGOR

Bidang usahawan latih MB jadi ahli politik

OLEH NADIAH ZAMLUS

KUALA LUMPUR, 23 JULAI: Bidang keusahawanan yang diceburi sejak berusia 14 tahun mendidik Amirudin Shari sebagai ahli politik dan pemimpin tertinggi negeri, hari ini.

Berkongsi pengalamannya, Dato’ Menteri Besar itu berkata, bidang yang diceburi sejak dari bangku sekolah membawanya kepada dunia kepimpinan.

“Ketika bersekolah di Johor, saya terbabit dalam program usahawan dengan pelajar seperti saya dilatih berkenaan dunia perniagaan.

“Pada waktu itu, saya berniaga pada waktu petang atau malam. Pada saya, program keusahawanan melatih diri menjadi lebih kreatif dan kritis,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Sekolah Keusahawanan & MSMEs (SME), di Menara Berkembar Petronas, di sini, hari ini.

Pada masa sama, katanya, bidang keusahawanan juga membolehkan pelajar menjadi kreatif dengan perubahan persekitaran.

“Bidang usahawan antara yang melatih saya sejak awal menjadi ahli politik, bukanlah sekolah kepimpinan,” katanya.

Amirudin, 38, juga Ahli Dewan Negeri Sungai Tua menjadi Dato’ Menteri Besar termuda pernah dilantik, di Selangor.

 


Pengarang :