SELANGOR

Bina jambatan konkrit, Juwairiya tunai janji

OLEH NADIAH ZAMLUS

KUALA SELANGOR, 20 JUL: Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli menunaikan janjinya pada Pilihan Raya ke 14 (PRU14) yang lalu bagi membaiki sebuah jambatan usang.

Juwairiya berkata, jambatan tersebut adalah satu-satunya jalan yang menghubungkan rumah penduduk di Kampung Asahan Batu 6 dengan jalan utama.

“Saya pernah berjanji kepada salah seorang penduduk di situ yang juga warga emas, saya lihat jambatan tersebut begitu usang dan paling membahayakan kerana ia hampir roboh.

“Kerja pembinaan jambatan baru ini dijangkakan bermula September depan setelah kerja pembersihan parit dibuat,” katanya kepada SelagorKini.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan tapak ke lokasi kejadian bersama penghulu, wakil Pejabat Daerah dan Tanah serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Juwairiya berkata, sehingga kini Pejabat Daerah dan Tanah sedang merangka kos jambatan baru.

“Saya cadangkan supaya jambatan kayu yang sedia ada sekarang digantikan dengan jambatan konkrit bagi membolehkan kenderaan berat masuk.

“PRU14 baru sahaja berlalu, saya akan berusaha menunaikan janji yang dibuat serta berharap supaya penduduk lebih selesa,” katanya.


Pengarang :