SELANGOR

Calon DUN Sungai Kandis belum dibincangkan

OLEH NORHAYATI UMOR

AMPANG, 3 JUL: Calon DUN Sungai Kandis yang akan bertanding dalam Pilihan raya kecil (PRK) belum dibincangkan dalam mana-mana mesyuarat,” kata Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau yang merupakan Timbalan Presiden KEADILAN berkata, hal itu bagi menghormati ahli keluarga dan sanak saudara Allahyarham Shuhaimi Shafiei.

“Perkara itu tidak perlu dibincangkan ketika ini. Ini bukan masanya untuk kita membincangkan perkara itu.

“Walaupun semalam ada mesyuarat biro politik khas namun isu ini tidak dibincangkan,” katanya ketika ditemui di Rumah Terbuka Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

Mohamed Azmin berkata, pihaknya menunggu pengumuman Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) untuk menentukan bila PRK diadakan.

“Kita serahkan kepada untuk mengumumkan bila PRK akan diadakan, kemudian baru KEADILAN dan Pakatan Harapan berbincang serta membuat persediaan PRK itu,” katanya.

Shuhaimi, 50, meninggal dunia akibat kanser limfoma tahap empat di Pusat Perubatan Subang Jaya jam 11.10 pagi, semalam.

Jenazah beliau disemadikan di Tanah Perkuburan Seksyen 21 Shah Alam.

Terdahulu, Mohamed Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi, mahu kebajikan keluarga dan anak-anak Shuhaimi dijaga.

Azmin berkata, beliau telah memaklumkan kepada Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkenan perkara tersebut dalam memastikan masa depan anak-anak Allahyarham terjamin.

=EZY=


Pengarang :