SELANGOR

Calon DUN Sungai Kandis diumum malam ini

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM 19 JULAI: Teka teki siapa calon yang mewakili Pakatan Harapan (PAKATAN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis akan terjawab malam ini.

Ia bakal diumumkan Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ketika Majlis Pelancaran Jentera KEADILAN PRK N49, di Padang Rakyat Jalan Kebun bermula jam 8.30 malam ini.

PRK DUN Sungai Kandis diadakan selepas penyandangnya, Mat Shuhaimi Shafie meninggal dunia ekoran kanser limfoma, pada 2 Julai lalu.

Seperti yang diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya, hari pengundian akan dijalankan pada 4 Ogos manakala penamaan calon ditetapkan, pada 21 Julai ini.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, Mat Shuhaimi memperoleh 23,998 undi menewaskan calon Barisan Nasional, Datuk Kamaruzzaman Johari (11,518); calon PAS, Mohd Yusof Abdullah (7,573) dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hanafiah Husin (76).

Sebelum ini Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari juga enggan mendedahkan identiti calon terbabit dan menyerahkan kepada Wan Azizah untuk mengumumkannya.

“Biar Presiden umum dan serah watikah, bukan posisi saya untuk mengumumkannya,” katanya.


Pengarang :