SELANGOR

Campurtangan Putrajaya, MB optimis selesai isu air negeri

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 3 JUL: Penyelesaian isu air negeri bakal mencapai keputusan akhir selepas perbincangan mengenainya sudah dibuat secara komprehensif antara pengurusan Air Selangor, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, isu berkenaan diyakini mampu diselesaikan pada kadar segera, selepas mengambil kira fungsi pentadbiran Kerajaan kini.

“Saya komited dan berikrar untuk mencari penyelesaian terbaik bagi isu air Selangor bersama Kerajaan Persekutuan demi rakyat Selangor,” katanya di Twitter.

Kenyataan itu dibuat selepas Amirudin dan Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Azmie Diron mengadakan perbincangan bersama pengurusan tertinggi Air Selangor untuk mendapatkan penyelesaian menyeluruh isu berkenaan.

Terdahulu, kemelut penstrukturan air negeri sukar dicapai berikutan kegagalan perjanjian membabitkan kedua-dua pihak antara pentadbiran negeri dan Putrajaya sebelum ini yang ditadbir Barisan Nasional.

Pertikaian dilaporkan berlaku susulan wujudnya elemen berat sebelah yang disifatkan Kerajaan Negeri sebelum ini gagal menetapi kehendak keperluan rakyat Selangor.

Sementara itu, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar turut membayangkan jaminan perkara sama dapat diselesaikan dalam tempoh sebulan.

“Apa yang penting sekarang adalah kita sudah bersedia untuk menyelesaikan isu air Selangor tidak lama lagi seperti yang dijanjikan,” katanya, lapor Berita Harian.

Dr Xavier sebelum ini juga pernah mengadakan pertemuan lanjutan bersama Dato’ Menteri Besar, membincangkan perkara itu.

=EZY=

 


Pengarang :