NASIONAL

Caruman KWSP satu penghargaan kepada isteri

SHAH ALAM 30 JUL: Kerajaan melihat tawaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) oleh suami untuk suri rumah termasuk tambahan caruman RM50 oleh kerajaan sebagai satu penghargaan kepada golongan berkenaan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau, yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, berkata selama ini, nasib golongan suri rumah diibaratkan seperti ‘kurang terbela’ sedangkan mereka adalah sokongan kuat dalam kehidupan sebuah keluarga.

“Mungkin ada daripada golongan ini menghadapi masalah tidak dijangka dalam kehidupan mereka maka caruman oleh pihak suami ditambah dana caruman oleh kerajaan boleh menjadi simpanan untuk membantu mereka.

“Pengalaman saya membesar dengan ibu yang terpaksa bekerja keras demi pendidikan anak memberi signal bahawa golongan suri rumah harus diberi penghargaan seperti ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis selawat dan cukur jambul anjuran pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Darul Wardah dan NGO Amani di Masjid An-Naim, Jalan Kebun di sini, Ahad.

Pada 18 Julai lepas, Dr Wan Azizah dilaporkan berkata penambahan dana RM50 yang dicarum dalam KWSP hanya tertakluk kepada suri rumah yang juga isteri pertama sahaja.

Inisiatif itu dilihat sebagai persediaan perlindungan masa hadapan isteri dan caruman berkenaan dijangka dapat jadi tabungan bagi menyiapkan suri rumah jika menghadapi apa-apa kemungkinan yang tidak diingini untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Caruman KWSP untuk isteri adalah antara tawaran manifesto 100 hari kerajaan Pakatan Harapan, dijangka bermula dengan sumbangan sukarela yang kemudiannya akan diwajibkan setelah pindaan kepada Akta KWSP dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dilaksana.

SUMBER: BERNAMA

 


Pengarang :