SUKANKINI

Cub Prix: Cabaran getir Fitri bersama Weststar Cilik

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 3 JUL: Pelumba Weststar Cilik Racing Team, Mohd Fitri Ashraff Razali, berdepan cabaran besar bagi menghadapi saingan kategori CP150 dalam Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2018.

Pelumba berusia 24 tahun itu akan menghadapi pelumbaan kedua bersama pasukan baharu itu di Litar MAEPS, Serdang, 7 hingga 8 Julai ini bergandingan dengan Abd Muhaimin Roslan dan muka baharu, Muhammad Nazif Nor Samsol.

Sebagai pasukan baharu dikendalikan bapanya, Razali Ahmad, Fitri berkata, mereka berdepan cabaran besar menyaingi pasukan lain dalam CP150 musim ini.

“Sebagai pasukan baharu, pastilah kami mempunyai banyak kekurangan terutama dari segi data untuk pelarasan jentera berbanding pasukan lain.

“Pada masa sama, saya mempunyai dua tanggungjawab berbeza dalam pasukan iaitu selain menjadi pelumba, saya juga sedang belajar mengurus pasukan bersama bapa sebagai persediaan musim akan datang,” katanya yang tidak menolak kemungkinan menjadi pengendali pasukan seandainya tidak lagi bergelar pelumba.

Fitri dengan pencapaian terbaik menamatkan saingan kelas perdana di tangga ketiga keseluruhan pada 2015, menduduki tempat kelapan pada perlumbaan pertama di Litar Tangkak manakala Nazif (13) dan Abd Muhaimin gagal menamatkan perlumbaan.


Pengarang :