SUKANKINI

Cub Prix: Fazli yakin TKKR bangkit

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 5 JUL: Ahmad Fazli Sham yakin pasukannya, Onexox TKKR Racing Team akan kembali bangkit bersaing di kelompok hadapan pada perlumbaan pusingan kedua Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2018 di Litar MAEPS, Serdang, 7 dan 8 Julai ini.

Pelumba berpengalaman berusia 36 tahun yang beralih pasukan pada musim ini sekadar menamatkan perlumbaan akhir CP150 di kedudukan ke-10 sewaktu pusingan pembukaan di Tangkak manakala rakan sepasukan Md Khairul Ikhwan Ajis (11) dan Md Hafiza Rofa gagal menamatkan perlumbaan.

Keputusan itu jelas berbeza berbanding di mana Fazli menamatkan musim lalu di kedudukan keempat keseluruhan dengan pencapaian terbaik tiga kali muncul sebagai naib juara perlumbaan.

“Kami sudah mengenalpasti beberapa kelemahan dan kesilapan perlumbaan lalu dan telah memperbaiki kelemahan itu.

“Beberapa ujian dijalankan sebelum ini juga menunjukkan keputusan positif,” kata juara kelas Expert 2007 dan 2008 itu.

Walaupun baru bersama TKKR, Fazli berkata, beliau tidak mahu menjadikan ia sebagai alasan sebaliknya berharap dapat menggunakan pengalaman untuk membantu pasukan menaiki podium.

“Musim 2017 pasukan ini berjaya meraih satu podium di tangga ketiga, jadi kami berharap dapat meraih keputusan lebih baik pada tahun ini bermula dengan perlumbaan di MAEPS,” katanya.


Pengarang :