SUKANKINI

Cub Prix: Kasma sasar hatrik di MAEPS

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 6 JULAI: Kasma Daniel Kasmayuddin mensasarkan kemenangan di Litar MAEPS, Serdang untuk musim ketiga berturut-turut menjelang perlumbaan pusingan kedua Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2018, pada 7 dan 8 Julai ini.

Pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor itu mempunyai rekod cemerlang di litar berkenaan apabila meraih gelaran juara CP130, pada 2016 dengan menewaskan Ahmad Fazli Sham dan Mohd Zaqhwan Zaidi.

Manakala tahun lalu, beliau menjuarai kategori CP150 dengan mengenepikan Mohd Ramdan Rosli dan Ahmad Afif Amran.

Selain itu, Kasma, 18, turut menaiki podium apabila muncul naib juara dalam CP115 ketika pertama kali MAEPS berada dalam kalendar Kejuaraan Cub Prix Malaysia, pada 2015.

“Litar MAEPS sentiasa menghadiahkan podium kepada saya dan secara peribadi memang saya sukakan litar ini kerana sebahagian daripadanya cukup teknikal, manakala sebahagian lain memerlukan jentera pantas.

“Adunan kemahiran dan persiapan jentera terbaik oleh pasukan dapat membantu saya mengejar kemenangan ketiga berturut-turut di sini,” kata juara bertahan CP150 dan pemenang pusingan pertama di Litar Tangkak, April lalu.

Kasma berkata, saingan kali ini lebih sengit dengan pencabar seperti Ahmad Afif dan rakan sepasukan, Mohd Ramdan yang pasti menjadikannya sebagai pelumba perlu ditewaskan.

“Begitu juga dengan pasukan lain termasuk dari jentera Honda yang semakin menunjukkan peningkatan,” katanya.


Pengarang :