SELANGOR

Cub Prix: Zaqhwan yakin Azroy mampu

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 17 JUL: Pelumba SuperSports negara, Mohd Zaqhwan Zaidi percaya Azroy Hakeem Anuar mampu menggalas tanggungjawab dan menggantikannya dalam pasukan Idemitsu Honda Givi Yuzy Racing.

Ia berdasarkan prestasi dipamerkan pada perlumbaan CP150 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Litar MAEPS, Serdang, 7 dan 8 Julai lalu.

Menjelang perlumbaan Pusingan 3 Kejuaraan Cub Prix di Jasin, Melaka, minggu ini, Zaqhwan yakin Azroy mampu meneruskan aksi cemerlang sebagaimana dipamerkan dalam sesi latihan dan kelayakan CP150 di Selangor itu.

“Saya ada melihat aksi Azroy di MAEPS dan telah menunjukkan peningkatan ketara dengan sentiasa berada dalam kelompok pelumba hadapan ketika sesi latihan juga kelayakan, cuma kesilapan sewaktu perlumbaan akhir menyebabkannya hanya menamatkan saingan di kedudukan ke 10.

“Sama seperti saya di peringkat awal dalam saingan leas perdana, Azroy perlu lebih berhati-hati dan bertenang dan mungkin dengan pengalaman demi pengalaman dalam perlumbaan selepas ini, dia akan semakin matang dan mampu menjadi juara,” katanya yang akan menyertai Kejuaraan Endurance Dunia Suzuka 8-Hour, 27 hingga 29 Julai ini.

Zaqhwan, juara CP130 2014 adalah pelumba utama Idemitsu Honda Givi Yuzy Racing beberapa musim lepas namun terpaksa mengetepikan saingan CP150 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS musim ini selepas memutuskan memberi tumpuan terhadap perlumbaan 1,000cc di Kejuaraan Seluruh Jepun dan SuperSports 600cc Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC).

Sementara itu, menyentuh tentang persediaan perlumbaan 8-Hour, Zaqhwan berkata, beliau sudah bersedia dari segi fizikal dan mental.

“Tahun ini saya akan bergandingan dengan dua pelumba berbeza berbanding musim lalu.

“Sesi latihan di Suzuka sepanjang beberapa minggu ini menunjukkan keputusan positif dan kami meletakkan sasaran untuk menamatkan saingan dalam kelompok sepuluh pasukan terbaik,” katanya.


Pengarang :